Ikan Siakap Bakar | Ikan siakap boleh dimasak dengan pelbagai cara, seperti kukus, goreng, bakar, atau masak dengan kuah. Minyak masak sekarang dah naik harga jadi tahun 2024 kita amalkan jimat cermat dengan makan makanan bakar atau rebus. Kita cuba elakkan masak dengan teknik deep fry tu. Di samping boleh berjimat cermat boleh juga menjaga kesihatan dengan pemakanan sihat, kan. Kali ini kita berkongsi resepi ikan siakap bakar yang mudah disediakan tetapi sedap dan dapat mengikat perut suami dan anak-anak.
Ikan Siakap Bakar Kosong
Bahan-bahan
- 1 ekor ikan siakap
- Sedikit garam
- Sedikit kunyit
- ½ kuib pati ayam
- Daun kunyit (untuk balut ikan)
Cara Membuat
- Bersihkan ikan dan gaul dengan garam dan kunyit.
- Tabur rata kuib ayam.
- Balut ikan dengan daun kunyit kemudian bakar ikan sehingga masak.
Tip Makan Ikan Siakap Bakar Kosong
Ikan Siakap Bakar kosong ini sedap kalau dimakan dengan air asam atau sos cili kicap. Tambah selera kalau makan dengan sayur masak lemak.
Resipi Air Asam Kerisik
Bahan-bahan;
- ½ biji bawang besar, hiris nipis
- 7 biji cili padi hijau, hiris nipis
- 3 biji cili padi merah, hiris nipis
- 1 biji tomato, potong dadu
- 1 inci belacan (ikut selera)
- 2 sudu kerisik
- Semangkuk air asam jawa
- Gula dan garam secukup rasa
Cara Membuat;
- Masuk bahan yang dihiris ke dalam mangkuk,
- Bakar belacan di atas api. Masuk ke dalam mangkuk.
- Masuk kerisik serta gula dan garam.
- Masuk air asam jawa dan ramas semua bahan menggunakan tangan. Kalau takut tangan panas disebabkan cili boleh guna sarung tangan plastik ketika meramas.
Boleh juga cuba resepi ikan cencaru sumbat kelapa
Ikan Siakap Bakar Portugis
Bahan-bahan
- 1 ekor ikan siakap
- Sedikit garam
- 3 helai daun limau
- 3 batang kacang bendi (optional)
- Sedikit petai (optional)
Bahan Tumis
- 3 sudu besar cili kisar
- 6 biji bawang merah
- 3 biji bawang putih
- 2 batang serai
- Garam dan gula
Cara Membuat
- Bersihkan ikan kemudian belah di tengah-tengahnya. Lumur ikan dengan garam seperti biasa. Letak daun pisang di atas magic pan kemudian letakkan ikan tadi di atasnya.
- Kisar bahan-bahan tumis dan tumis sehingga pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula.
- Kemudian letak bahan tumis ke atas ikan siakap tadi.
- Letak daun limau yang telah dihiris dan juga petai.
- Bakar di atas api sehingga ikan siakap masak.
- Jika mahu meletakkan kacang bendi, bila ikan hampir masak, letakkan sayur tadi dan biarkan sehingga ikan telah masak.
Tip Ikan Siakap Bakar Portugis
Ada juga yang menggelarkan cara masak begini sebagai Ikan Siakap Bakar Berempah. Bahan yang digunakan lebih kurang sama mengikut selera masing-masing. Ikan Siakap Bakar Portugis boleh ditambah dengan tempoyak sehingga menjadi Ikan Siakap Bakar Tempoyak. Ikan Siakap Bakar juga sedap jika diletakkan Cincalok. Ikan Siakap Bakar Petai pun sedap juga mengikut selera masing-masing.
Boleh juga cuba resepi kari ikan bawal emas
Cara Masak Ikan Siakap Bakar
Ikan Siakap Bakar Air Fryer
Bakar ikan menggunakan air fryer memang mudah dan sedap. Petua bakar ikan menggunakan Air Fryer jadi lebih sedap ialah dengan membalut ikan yang digunakan. Ikan perlu dibalut untuk mengekalkan jus pada ikan supaya tidak kering. Gunakan daun pisang atau kertas dan balut kemas agar tidak terkena pada coil pemanas.
Ikan Siakap Bakar Magic Pan
Bakar ikan menggunakan magic pan juga mudah dan sedap. Balut ikan dengan daun pisang atau daun kunyit. Letakkan aluminium foil juga di luar daun pisang untuk mengelakkan sambal atau bahan tumis yang terkeluar menjadi hangus.
Ikan Siakap Bakar Oven Atau Ketuhar
Bakar ikan menggunakan oven atau ketuhar juga mudah dan sedap. Sediakan ikan dan sambal kemudian letak dalam bekas kaca atau loyang. Bakar pada suhu 170°C selama 20 minit atau hingga keperangan. Suhu mungkin berbeza mengikut ketuhar masing-masing.
Boleh juga cuba resepi ikan tenggiri masak taucu
Cara Memilih Ikan Siakap Segar
Bagi memilih ikan siakap yang segar, kita boleh mengikuti beberapa tip berikut:
- Lihat warna kulit dan sisik ikan. Ikan siakap yang segar mempunyai kulit yang berkilat dan berwarna cerah, dan sisik yang kuat dan melekat dengan baik.
- Lihat warna mata ikan. Ikan siakap yang segar mempunyai mata yang jernih, cerah, dan menonjol. Ikan siakap yang tidak segar mempunyai mata yang merah, pudar, dan tenggelam.
- Lihat warna insang ikan. Ikan siakap yang segar mempunyai insang yang berwarna merah terang dan basah. Ikan siakap yang tidak segar mempunyai insang yang berwarna kelabu atau hitam dan berlendir.
- Rasa tekstur ikan. Ikan siakap yang segar mempunyai isi yang keras dan pejal bila ditekan. Ikan siakap yang tidak segar mempunyai isi yang lembik dan mudah pecah.
- Cium bau ikan. Ikan siakap yang segar mempunyai bau yang hanyir dan berbau laut. Ikan siakap yang tidak segar mempunyai bau yang busuk dan masam.
Cara Menyimpan Ikan Siakap
Menyimpan ikan siakap yang sudah dibeli dengan cara yang betul adalah penting untuk menjaga kesegaran dan kualiti ikan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda cuba untuk menyimpan ikan siakap di dalam peti sejuk atau freezer:
- Bersihkan ikan siakap dengan baik. Buang segala isi perut, insang, sirip, dan ekor ikan. Basuh bersih ikan dengan air paip dan toskan.
- Masukkan ikan siakap ke dalam bekas kedap udara yang sesuai dengan kuantiti untuk sekali masak. Anda boleh bekas plastik atau plastik resealable.
- Tuangkan air ke dalam bekas sehingga menutupi ikan siakap. Ini boleh mengelakkan ikan daripada kering atau berbau.
- Tutup rapat bekas dan letakkan label dengan tarikh penyimpanan. Ini boleh membantu kita mengenal pasti ikan siakap yang paling lama disimpan.
- Simpan bekas ikan siakap di dalam freezer dan ikan siakap yang disimpan dengan cara ini boleh tahan selama 2 hingga 3 bulan.
- Bila hendak masak, keluarkan bekas ikan siakap dari freezer dan biarkan ais cair terlebih dahulu. kemudian kita boleh memasak ikan siakap seperti biasa.