fidyah puasa | Bulan Ramadan bakal menjelma tak lama lagi. Bulan Ramadan juga adalah bulan umat Islam melakukan ibadah puasa. Walau bagaimanapun jika kita masih ‘berhutang’ puasa pada Ramadan tahun lalu bermakna wajib qada’ puasa (ganti puasa). Bagaimana pula kalau sudah terlebih masa untuk qada’ puasa? Jawapannya ialah wajib membayar fidyah. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor Tahun 2024 yang disempurnakan perasmian oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Hotel Concorde Shah Alam baru-baru ini.
Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor
Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang diadakan bermula 13 Februari sehingga 11 Mac 2024, pelbagai program telah disusun antaranya ialah Program Hari Bersama Baitulmal; Bual Bicara di Radio Selangor FM; Taklimat, Tazkirah Jumaat dan Kuliah Maghrib Khas di Institusi, Masjid dan Surau Terpilih; Kaunter Pemasaran Baitulmal dan Forum Fidyah.
Tujuan kempen fidyah puasa ini diadakan adalah memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam tentang tanggungjawab melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya bulan Ramadan yang akan datang.
Baca juga; bayar fidyah online selangor
Dalil Pensyariatan Fidyah
Al-Quran
Firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)
Hadis
Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من مات وعليه صيامُ شهرٍ فليُطعمْ عنه مكانَ كلِّ يومٍ مسكينًا
Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hukum Fidyah Puasa
Fidyah adalah satu bentuk ibadah niyabah (gantian) yang diberi pahala kepada pelakunya. Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Siapa Yang Perlu Bayar Fidyah
- Meninggalkan puasa kerana sakit kronik
- Meninggalkan puasa kerana sakit tua
- Meninggalkan puasa kerana hamil
- Meninggalkan puasa kerana menyusukan anak
- Melambatkan ganti puasa (qada’)
- Hutang puasa orang yang meninggal dunia
- Meninggalkan puasa kerana musafir atau sakit dan tidak qada’ puasa pada tahun ia ditinggalkan.
Kadar Fidyah 2024 Selangor
Bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan termasuk upah sama ada RM2.00 atau RM4.00 atau mengikut jenis beras yang dimakan.
Beras Super Tempatan Gred A
RM2.00
Beras Import, Perang, Pulut, Herba Ponni, Wangi
RM4.00
Basmathi, Jepun, Merah
RM6.00
Fidyah Zakat Selangor
Bagi warga Selangor pembayaran fidyah kini lebih mudah apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menyediakan dua kaedah untuk membayar fidyah iaitu dibuat secara atas talian atau di kaunter.
Bayar Fidyah Secara Atas Talian
Bayaran fidyah boleh dibuat secara atas talian melalui e-MAIS. Kiraan fidyah kini lebih mudah apabila MAIS telah menyediakan kemudahan kalkulator fidyah (Fidyah Calculator Selangor). Selepas kiraan dilakukan boleh terus membuat bayaran secara online.
Bayar Fidyah Di Kaunter
Pembayaran fidyah boleh dilakukan di kaunter Baitulmal MAIS atau Baitulmal Daerah yang terdapat di Pejabat Agama Islam Daerah dalam Negeri Selangor secara tunai atau melalui cek/pos berdaftar atas nama MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR.
Hasil bayaran fidyah perlu diserahkan kepada Baitulmal dan akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.
Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bekerjasama dengan 298 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah MAIS terus kepada mereka yang memerlukan dengan menggunakan peruntukan fidyah secara efisyen, menyeluruh dan menepati golongan penerima.
Program agihan fidyah ini dilaksanakan oleh MAIS dengan kerjasama RSAFM yang terdiri dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), agensi kerajaan, sekolah, masjid dan surau di daerah yang terlibat.
Selain itu, MAIS juga turut melantik ejen kutipan fidyah MAIS bagi menyebarluaskan kutipan fidyah terutama di negeri Selangor iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.
Bagi tahun 2023, MAIS telah berjaya melaksanakan kutipan fidyah berjumlah RM12.5 juta dan hasil kutipan tersebut, sebanyak RM11.9 juta telah diagihkan kepada mereka yang layak. Manakala bagi tahun 2024, MAIS mensasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta.
Majlis Penghargaan Rakan Strategik & Rakan Media
Sementara itu, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan kepada rakan strategik yang telah memberikan komitmen tinggi bagi pelaksanaan program dan kepada rakan media memberikan sokongan melalui liputan meluas berhubung kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
Antara penerima penghargaan ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radio Television Malaysia (RTM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Media Selangor, TV Alhijrah, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan, Bernama, Kosmo, Radio IKIM, Radio Selangor, Radio Klasik, Karangkraf, rakan blogger dan sebagainya meliputi media arus perdana dan media digital.
“Besarlah harapan saya, agar komitmen dan hubungan baik antara MAIS dan rakan-rakan media terus dapat ditingkatkan dan dikekalkan,” ujar Pengerusi MAIS semasa menyampaikan ucapannya.
Beliau juga mengingatkan agar memastikan penyampaian maklumat, kesahihan dan ketepatan maklumat adalah sangat penting agar tidak berlaku kepincangan maklumat di dalam masyarakat.
Sijil penghargaan dan hadiah iringan diberikan rakan strategik yang telah memberikan komitmen tinggi bagi pelaksanaan program dan kepada rakan media memberikan sokongan melalui liputan meluas berhubung kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
Info lanjut, boleh didapati di laman web rasmi MAIS di www.mais.gov.my dan media sosial rasmi MAIS
Baca juga; kesedaran terhadap faraid, wang tidak patuh syariah
Sofea
Terbaik sis…info yg bermanafaat..👍👍👍