Sekali sekala makan Kari Ikan Bawal Emas memang terasa kenikmatannya. Makan pula bersama sambal belacan dan keropok moni rangup memang tak payah lauk lain. Boleh bertambah-tambah nasi jadinya.
Masak kari ikan bawal antara lauk kegemaran rakyat Malaysia. Itu sebab menu kari ikan bawal menjadi salah satu menu wajib di kebanyakan kedai dan restoran.
Kari Ikan Bawal Emas masakan melayu merupakan menu yang menepati selera kita. Masak kari gaya melayu menggunakan santan dan agak cair. Memang sedap! Lepas makan dengan nasi kalau ada lebih boleh di makan dengan roti canai untuk sarapan pula, surrr.
Resepi Kari Ikan Bawal
Mudah sahaja masak resepi kari ikan bawal emas ini kerana bahan-bahan yang digunakan mudah dan tersedia di dapur.
Resepi kari ikan bawal emas kali ini menggunakan rempah kari cap O yang popular di utara tanah air. MJ akan guna 1 paket kecil untuk sekali masak. Sukatan paket kecil ini biasanya memang sesuai untuk sekali masak.
Jika menggunakan paket besar boleh guna 3 sudu besar rempah yang dibancuh dengan serbuk cili dan air.
Jom kita tengok apa bahan-bahan yang digunakan untuk masak Kari Ikan Bawal Emas Melayu Style.
Bahan-bahan
1 ekor ikan bawal emas sederhana besar
1 mangkuk santan (cair dan pati)
1 mangkuk kecil air asam jawa
6 biji bendi
2 biji tomato
Garam secukup rasa
Bahan Rempah
1 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
1 sudu besar halba campur
3 tangkai daun kari
1 paket kecil kari ikan cap O
½ sudu cili serbuk
Bahan Kisar
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1 inci halia
Cara Membuat
- Masuk sedikit minyak di dalam periuk untuk menumis.
- Setelah minyak panas, masuk bahan rempah; kulit kayu manis, bunga lawang, halba campur dan daun kari. Tumis sehingga naik bau.
- Kemudian masuk bahan kisar pula. Kalau tak mahu kisar boleh juga hiris bahan-bahan tersebut. Ikut selera masing-masing.
- Sementara menunggu bahan kisar naik bau, bancuh serbuk rempah kari ikan dan serbuk cili bersama sedikit air di dalam mangkuk kecil.
- Bila bahan kisar dah naik bau, masuk bancuhan rempah kari tadi.
- Tumis sehingga pecah minyak dan tuang air asam jawa. Kacau hingga pecah minyak.
- Masuk santan cair dan sedikit garam. Masak dalam tempoh 3 minit kemudian masuk ikan.
- Tambah santan pekat mengikut selera masing-masing. Tak perlu kacau sangat agar ikan tak hancur.
- Bila sudah mendidih, masuk bendi dan tomato. Masak sehingga kauh kari naik minyak.
- Perasakan dengan garam.
Kari Ikan Bawal Emas Tanpa Santan
Sekiranya di dapur tak ada santan segar kita boleh guna santan kotak. Kalau tak ada kedua-duanya boleh juga guna susu cair.
Namun, santan dan susu cair bukan kemestian untuk masak kari ikan bawal emas ini. Boleh juga masak Kari Ikan Bawal Emas Tanpa Santan.
Kebiasaannya kari ikan tanpa santan ini adalah kari ikan mamak style. Masih menggunakan bahan-bahan yang sama Cuma santan digantikan dengan air.
Kari ikan melayu style kuahnya lebih cair berbanding mamak style yang lebih pekat dan bebas santan. Jadi terpulang kepada cita rasa masing-masing.
Resepi Ikan Bawal Emas
Selain masak kari, Ikan Bawal Emas boleh juga dimasak mengikut resepi seperti Ikan Bawal Emas Stim Chinese Style, Resepi Ikan Bawal Emas Masak Singgang, Resepi Ikan Bawal Emas Tiga Rasa, Resepi Ikan Bawal Emas Stim Ala Thai dan Ikan Bawal Emas Masak Halia.
Boleh cuba Resepi Asam Pedas Telur Ikan Mayong, Ikan Masak Tiga Rasa Che Nom
Cara Siang Ikan Bawal Emas
Tak susah sebenarnya nak siang ikan bawal emas ni. Boleh siang macam seperti buang perut. Ikan ini tidak bersisik seperti ikan tenggiri jadi tak perlu bersusah payah nak buang sisik macam ikan siakap.
Kalau nak lagi mudah guna servis siang ikan kat tempat kita beli ikan tu. Balik rumah tinggal basuh dan masak jer.
Harga Ikan Bawal Emas
1kilogram lebih kurang RM45.00 ikut harga pasaran
Jenis Ikan Bawal
Bagi individu yang biasa ke pasar tentu tahu terdapat tiga jenis ikan bawal yang biasa dijumpai.
Ikan bawal yang biasa berada di pasaran Malaysia ialah;
- Ikan Bawal Hitam
- Ikan Bawal Putih
- Ikan Bawal Emas