Kalau berkunjung ke Melaka Bandar Raya Bersejarah, tak lengkap kalau tak pekena Mee Bodo Melaka. Mee goreng atau mee bodo ni dah viral dan sangat popular.
Orang Melaka menggelarkan Mee ini ‘bodo’ bukanlah sebab kalau makan mee ini kita boleh menjadi bodoh.
Cuma bahan-bahan untuk membuat mee ini adalah lebih ringkas berbanding mee goreng biasa. Mee goreng ini hanya gunakan sambal dan taugeh semata-mata.
Itulah agaknya orang Melaka panggil mee ini ‘bodo’ sebab bahan-bahannya terlalu simple.
Agak kasau jugaklah orang Melaka nie yea. Walaupun namanya tidak sedap didengar namun rasanya memang enak dimakan.
Mee Bodo Melaka
Keistimewaan mee bodo Melaka ini sudah tentu terletak pada sambalnya. Kalau tak ada sambal ibarat hilang seri mee bodo Melaka dan rasanya sangat plain.
Lagi satu keistimewaan mee bodo ini adalah pada telur mata kerbau. Telur goreng mata kerbau yang digoreng bersama sambal istimewa itu sangat mengundang selera.
Selain itu, timun juga dihidangkan bersama dengan mee goreng.
Ejaan Yang Betul Ialah Mi Goreng Bukan Mee Goreng
– Dewan Bahasa Dan Pustaka
Mee Bodo Hassan
Salah satu gerai popular yang menjual mee ‘bodo’ di Melaka ialah gerai Mee Goreng Hassan. Atau popular juga dengan panggilan Mee Goreng Hassan Tengkera Melaka.
Gerainya terletak di Tengkera, gerai ini memang tak menang tangan melayan pelanggan yang berpusu-pusu untuk menikmati mee bodo ini. Sekali dah rasa memang pasti mahu repeat lagi.
Namun, ramai yang kecewa dan berputus asa untuk merasa mee goreng ini. Ini kerana gerai ini agak kecil dan kawasan parkirnya amat terhad kerana terletak betul-betul bersebelahan jalan besar.
Mungkin lebih mudah kita naik Grab Car untuk ke sana atau order melalui Food Panda sahaja. Tapi tak feellah sebab makan kat kedai lagi surrr…
Di atas meja tersedia sebotol kicap dan cuka. Memang orang Melaka makan mee goreng bersulamkan cuka. MJ tak pernah cuba tapi pernah ternampak ada seorang pakcik yang teruja tuang cuka dalam mee bodo yang dinikmatinya.
Mungkin suatu hari nanti nak cuba letak cuka pulak. Mana tahu kena dengan selera pulak, kan. Tuang kicap tu dah biasa sangat kan.
Mee Bodo Bukit Baru
Namun ada berita baik buat penggemar mee bodo Melaka nie. MJ baru tahu gerai Mee Goreng Hassan ini sudah pun membuka cawangan yang baru.
Dah setahun juga rupanya Mee Bodoh Bukit Baru, cawangan kedua ini dibuka. Lokasinya yang terletak di Kampung Musai iaitu di tepi Lebuhraya Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) arah utara dan betul-betul bersebelahan dengan Restoran Western Totang (tapak lama Restoran Karat).
MJ sendiri dah merasa mee goreng di sini. Memang rasanya sama seperti mee goreng Hassan Tengkera.
Masa nak bayar, MJ sempatlah interview owner gerai ini. Rupanya dia adalah anak kepada Pak Hassan pemilik Mee Goreng Hassan kat Tengkera tu. Cuma tukang masak gerai ini ialah suaminya sendiri a.k.a menantu kepada Pak Hassan.
Mungkin dah bertahun menantu Pak Hassan ni belajar masak mee goreng ni. Baharu dia berani buka gerai sendiri.
Memang best makan dekat sini sebab kawasannya agak besar dan selesa. Tak adalah nak beratur macam di Tengkera. Ruang parkir juga agak banyak.
Lokasi
Kampung Musai, Melaka bersebelahan dengan Restoran Western Totang
Waktu Operasi
Sabtu – Khamis
7.30 pagi hingga 11.00 pagi
JUMAAT TUTUP
Harga Mee Bodo Melaka
Mee goreng – RM3.00
Telur goreng – RM1.20
Pesanan Khidmat Masyarakat Mee Goreng Tengkera Cawangan Bukit Baru
Segala pembaziran timun dan sambal akan dikenakan caj.
Resepi Mee Bodo Melaka
Kalau teringin nak rasa mee bodo tapi tak sempat nak singgah Melaka, bolehlah cuba masak sendiri ala Mee Goreng Pak Hassan, Tengkera.
Bahan-bahan
Bahan Sambal
1 biji bawang besar
7 ulas bawang putih
5 sudu cili kisar, ikut tahap kepedasan masing-masing
Segenggam udang kering
1 sudu besar asam jawa, bancuh dengan air
Minyak masak untuk menumis
Garam dan gula, secukup rasa
Bahan Mee Goreng
5 sudu besar sambal yang telah dimasak, ikut tahap kepedasan masing-masing
Mee kuning
Segengam taugeh
Bahan Hiasan
Telur
Timun
Cara Membuat
- Tuang minyak dalam kuali dalam kuantiti yang agak banyak untuk menumis.
- Panaskan minyak.
- Tuangkan bahan kisar. Tumis sehingga naik bau.
- Masuk cili kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
- Kemudian masuk perahan air asam jawa.
- (Masak mee bodo) Masuk sambal yang telah dimasak ke dalam kuali.
- Kemudian masuk mee kuning dan goreng sebati.
- Kemudian masuk taugeh pula dan kacau sebati.
- (Masak telur goreng mata kerbau) Ambil minyak daripada sambal yang telah dimasak ke dalam kuali bersih.
- Kemudian pecah telur dan goreng mengikut kesukaan masing-masing. Ada yang tak suka kuning telur tu cair dan ada yang suka cair di mulut.
- Hiris timun halus-halus.
- Letak mee goreng ke dalam pinggan dan letak telur goreng mata kerbau, sambal dan timun.
- Mee bodo melaka telah siap untuk dihidangkan.
Tip Masak Mee Bodo Melaka
Tak perlu guna minyak untuk goreng mee hanya guna sambal sahaja.
Cuba juga masak Asam Pedas Daging Tetel Melaka dan Asam Pedas Melaka Simple
Jenis-jenis Mee Di Malaysia
- Mee Kuning (Mi Kuning)
- Mee Hoon (Bihun)
- Mee Sanggul (Mi Sanggul)
- Yee Mee
- Suhun
- Laksa Spegetti
- Laksam
- Char Kuey Teoy
Nita
Nak rasa yg sis maizan buat la nnti hehe
duniamyzan
Boleh jer, senang jer bahan-bahan ni. Tapi tak sama lah rasa kedai legend kat Melaka tu.