Masak Asam Pedas Daging Tetel Melaka ni memang rare tapi sedap yakmat. Ia adalah resipi ori Melaka dan tak banyak juga kedai yang menjualnya. Kebanyakan kedai makan di Melaka jual asam pedas ikan atau lebih dikenali dengan masak asam. Boleh cuba sendiri masak Asam Pedas Melaka Simple pakai ikan tenggiri. MJ belajar masak resepi Asam Pedas Tetel Melaka dari mak mentua. Walau dah banyak kali masak tapi masih tak capai standard air tangan mak mentua. Dapat sipi-sipi jer, jadilah kan. Asam pedas daging tetel air tangan mak mentua memang sedap tak boleh bawa bincang.
Kebiasaanya asam pedas daging tetel ni menu wajib di pagi raya, hanya di Melaka! Makan pulak dengan ketupat lemak, memang mengundang.
Teringat dulu, masa kali pertama raya kat Melaka. Mata meliar cari mana ketupat nasi dengan kuah kacang mudah? Yang ada Asam Pedas Daging Tetel Melaka, sambal udang dan kuah lodeh.
Maklumlah orang Perak umur 27 tahun baru ada rezeki beraya di rumah mentua. Memang awal-awal rasa pelik nak makan asam pedas daging tetel. Tapi sekarang, pantang jumpa!
Asam pedas daging tetel ini seperti namanya, kuah asam pedas yang akan dimasukkan daging tetel, daging batang pinang, perut, paru dan hati. Kadang-kadang masuk tulang lembu jugak.
Jenis Perut Lembu
MJ tak biasa makan perut lembu tapi bila berkahwin suami ajar makan perut lembu. Sekarang boleh lah makan sikit-sikit. Rupanya ada 4 jenis perut lembu ni.
1. Rumen / Perut Tuala
Bahagian dalamnya berbulu-bulu (vili), menyerupai tuala. Ia juga digelar perut tebal.
2. Retikulum / Perut Sarang Lebah
Bahagian dalamnya bercorak seperti sarang tebuan (honeycomb) atau jala.
3. Omasum / Perut Kitab
Bahagian dalamnya mempunyai lapisan yang menyerupai lembaran kitab.
4. Abomasum / Perut Jerami
Bahagian dalamnya mempunyai rabung (rugae) menyerupai jerami nangka.
Daging Tetel Bahagian Mana
Daging tetel amat popular di Melaka. Kalau pergi pasar pagi di sana memang daging tetel cepat habis terjual.
Kalau pergi pasar pagi di Selangor pula memang boleh tengok banyak daging tetel di atas meja yang belum terjual.
Daging tetel bahagian mana? Daging tetel ni sebenarnya ialah lebihan daging yang mempunyai banyak urat dan banyak lemak.
Kalau tak tahu macam mana nak pilih, minta saja pada penjual daging nak beli daging tetel. Boleh minta sekilo atau dua kilo daging tetel.
Cara Potong Daging Tetel
Biasanya cara memotong daging yang betul ialah dengan cara melintang urat daging. Melalui cara ini dapat makan daging lebih lembut dan senang untuk dikunyah berbanding mengikut urat.
Namun cara potong daging tetel tiada kaedah khusus. Potong sahaja kecil-kecil agar senang dikunyah apabila telah dimasak.
Pastikan guna pisau yang tajam sebab daging tetel ini banyak lemak dan urat. Boleh naik muscle tangan kalau potong berkilo-kilo daging tetel.
Resepi Asam Pedas Daging Tetel Melaka Asli
Ada banyak kaedah nak masak asam pedas daging tetel ni. Tak ada yang salah dan tak ada yang betul.
Paling penting kena dengan selera sendiri dan keluarga. Niat kerana Allah SWT dah tentu dapat pahala kerana membahagiakan orang lain.
Mak mentua masak atas api macam biasa tapi MJ nak jimat masa guna pressure cooker jer. MJ guna pressure cooker jenama Phillips. Daging cepat lembut dan tak payah tunggu lama di dapur.
MJ kongsikan resipi warisan keluarga mentua Resepi Asam Pedas Daging Tetel Melaka Asli ini.
Bahan-bahan;
- 250gram daging batang pinang
- 1kilogram daging tetel
- 250gram tulang lembu
- 250gram perut
- 125gram paru
- 125gram hati
- Semangkuk asam jawa
- 4 helai daun limau
- Sedikit belacan
- Garam dan gula
Bahan rempah
- Segengam jintan manis
- 6 batang kulit kayu manis
- 4 biji bunga lawang
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji bunga cengkih
Bahan kisar
- 4 senduk cili kering/cili boh (ikut kepedasan masing-masing)
- 10 biji bawang merah
- 3 biji bawang besar
- 6 ulas bawang putih
- 2 inci kunyit hidup
- 2 inci halia
Bahan diketuk
- Seinci lengkuas
- 8 batang serai
Cara Membuat;
Asam Pedas Daging Tetel Melaka Asli
Total Time: 1 hour
Langkah 1
Rebus cili kering dan kisar halus. Kalau dah ada cili boh siap-siap lagi bagus. Sebaik-baiknya guna cili kering yang dikisar berbanding cili boh sebab lagi sedap masakan kita. Sangai jintan manis atas kuali (tanpa minyak) dan kisar halus guna blender kering. Boleh juga guna jintan manis serbuk yang siap dijual.
Langkah 2
Letak minyak dalam kuali dan goreng belacan terlebih dahulu.
Langkah 3
Masuk bahan rempah dan bahan kisar bawang merah, bawang besar, bawang putih, kunyit hidup dan halia. Masuk juga bahan ketuk, serai dan lengkuas. Tumis sehingga naik bau.
Langkah 4
Masuk cili kisar dan tumis lagi sehingga pecah minyak. Masak asam pedas tetel memang kena guna banyak minyak, baru masakan menjadi. Bila dah siap nanti boleh keluarkan minyak yang berlebihan.
Langkah 5
Bila adunan rempah dah pecah minyak masuk perahan air asam jawa. Masak lagi sehingga terbit minyak.
Langkah 6
Masuk daging biasa, daging tetel, daging tulang, perut, paru dan hati ke dalam periuk dan gaul sebati. Masuk sedikit air untuk proses melembutkan daging ke dalam periuk pressure cooker nanti.
Langkah 7
Tuang bahan yang di masak tadi ke dalam periuk pressure cooker dan biarkan ia masak mengikut ketetapan pressure cooker masing-masing. Bila daging dah lembut tuang ke dalam kuali semula untuk pekatkan kuah. Perasakan dengan gula dan garam.
Tip Masak Asam Pedas Daging Tetel
- Jangan rebus dulu daging dalam periuk lain sebab nanti kemanisan daging hilang walaupun kita guna balik air rebusan daging.
- Kunci utama masak asam pedas daging tetel ini ialah rasa yang seimbang di antara pedas, masam, masin dan manis. Kemanisan kuah asam datang daripada kemanisan daging. Kalau dapat daging baru memang terbaik.
- Selain masak guna pressure cooker boleh juga masak cara biasa. Cuma guna pressure cooker ini boleh jimatkan masa untuk melembutkan daging.
- Masak cara biasa makan masa sehingga 4 jam ikut jumlah daging tetel yang digunakan.
- Bahan-bahan masak asam pedas tetel beza sikit daripada asam pedas ikan. Macam kita masak kari ayam dan kari ikan, ada beberapa bahan yang beza sikit, kan.
- Daging yang biasa digunakan ialah daging lembu. Belum pernah makan asam pedas daging kambing.
- Boleh juga menumis dalam periuk pressure cooker. Tapi MJ suka menumis dalam kuali sebab lebih besar dan cepat.
- Masuk hati dan paru selepas daging agak lembut agar tidak terlalu lembik atau hancur.
- Paling sedap kalau masak semalaman bak kata orang Perak masakan dah mesra. Sebab itu kalau nak makan pagi raya, malam raya tu dah siap masak.
Asam Pedas Daging Che Nom
Selain resipi asam pedas daging tetel mak mentua, youtuber terkenal juga ada kongsikan resipi daging masak Asam Pedas Che Nom.
MJ kongsikan cara Che Nom masak asam pedas daging.
Bahan-bahan
- 1kilogram daging
- 6 ulas bawang putih*
- 6 ulasbawang merah*
- 3 cm halia*
- 1 cawan air asam jawa
- 2 sudu besar kicap
- sedikit sos tiram
- 2 sudu kecil lada hitam
- daun bawang
Cara Membuat
- Potong halus bahan *
- Panaskan minyak dan tumis bahan *
- Masukkan daging, kacau seketika hingga separuh masak
- Masukkan air asam jawa, kicap, sos tiram, serta garam dan gula secukup rasa
- Kacau sehingga daging masak dan lembut
- Hiaskan dengan daun bawang
- Sedap dimakan bersama nasi panas
Baca juga; Resipi Bubur Ayam Mcd Yang Simple dan Resepi Sup Tulang
azni
ooo pakai jintan erk …. nntn nak try lah … resepi mak ngah mmg terbaik
duniamyzan
wajib try sis. menu ni selalu wujud time raya jer.
nettyahhiyer
Sedapnya kak.. nanti nak try masak asam pedas cara kak maizan ni.. cuma tulah pressure cooker tu tak berani pulak nak guna.. hahaha. Nak kena pm tepi ni minta ajarkan.
duniamyzan
Lagi senang guna pressure cooker sebab jimat masa. kalau tak berejam nak tunggu daging lembut.