Sebenarnya kuah kacang mudah sahaja cara penyediaannya. Tak susah sangat pun. Bahan-bahan pun tak banyak.
Kuah kacang merupakan pelengkap juadah ketupat dan menjadi menu wajib setiap kali musim perayaan. Rasa tak lengkap kalau tak ada kuah kacang dan ketupat di pagi raya. Tapi sekarang banyak kedai makan atau kafe yang menyediakan kuah kacang sebagai salah satu hidangan dalam menu utama.
Kuah kacang jadi menu utama orang utara ketika musim perayaan Selain itu hidangan istimewa ini menjadi ‘penyeri’ dan boleh dimakan bersama sate, lontong dan cucur udang.
Tapi kuah kacang untuk pecal sayur-sayuran lain tau! Nampak saja sama tapi berbeza daripada segi penyediaannya. Kuah kacang untuk pecal tidak dimasak sebaliknya hanya digoreng dan ditumbuh. Namun, bahan-bahan yang digunakan saja lebih kurang sama.
Sudah semestinya kuah kacang mudah dan paling sedap dan terbaik adalah resipi yang Mak buat. Kuah kacang yang sedap apabila rasa pedas, lemak, manis, masam dan masinnya seimbang.
Cara Mak buat kuah kacang mudah dan ringkas menggunakan bahan-bahan biasa saja. Tapi paling sedap di dunia!
Baca juga; Cara Masak Rendang Ayam Tak Hancur
Kuah Kacang Tahan Lama
Kuah kacang akan jadi semakin sedap selepas semalaman atau kata orang tua jadi ‘mesra’.
Sebenarnya ia sejenis masakan yang tahan lama dan tak mudah basi. Kecuali masukkan bahan lain seperti daging atau ayam.
Kalau buat dalam kuantiti yang banyak, simpan kuah kacang dalam bekas kecil untuk sekali makan. Letak dalam peti sejuk dan boleh tahan dua hingga tiga bulan. Bila-bila teringin nak makan, panaskan saja!
Jangan tutup periuk ketika kuah kacang masih panas kerana boleh menyebabkan kuah kacang tak tahan lama dan basi. Biarkan sejuk baharulah ditutup.
Kuah Kacang Mudah & Lazat
Bahan-bahan:
- 1 kg kacang tanah
- 2 senduk cili boh (boleh tambah atau kurang ikut kepedasan masing-masing)
- 6 sudu gula pasir
- ¼ gula melaka
- 1 mangkuk kecil air asam jawa
- 2 mangkuk air
- Bahan untuk kisar
- 6 biji bawang merah
- 3 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 4 batang serai
- Garam
- Sedikit belacan (optional)
Cara membuat:
- Masuk sedikit minyak dalam kuali dan goreng kacang. Angkat dan sejukkan sebentar. Kisar atau tumbuk dengan lesung batu. Masukkan dalam bekas besar.
- Kisar bahan-bahan kisar dan tuang ke dalam bekas berisi kacang.
- Boleh letak cili boh ke dalam bekas sedikit demi sedikit ikut kepedasan.
- Gula dan garam juga dimasukkan ke dalam bekas berisi bahan-bahan kuah kacang.
- Air asam dan air di masukkan ke dalam bekas dan gaul rata. Boleh rasa tahap pedas, masam dan masin kuah kacang. Jika kurang boleh tambah.
- Panaskan minyak dalam periuk atau kuali. Bila minyak dan panas tuang ke semua bahan dalam periuk.
- Masak sehingga mendidih dan sehingga minyak timbul di permukaan dan kuah menjadi pekat.
Tips Kuah Kacang Sedap
- Sukatan bahan-bahan kuah kacang mudah disediakan ini adalah anggaran semata-mata. Ia boleh berubah ikut selera masing-masing.
- Goreng kacang tanah jangan terlalu garing kerana rasa kuah kacang sangat bergantung pada tahap gorengan kacang tanah. Jika terlebih goreng kuah kacang akan rasa pahit.
- Jika tak yakin boleh masukkan sedikit demi sedikit bahan-bahan dan boleh ditambah selepas rasa kuah kacang tersebut.
- Guna periuk yang besar untuk masak kuah kacang kerana ketika mendidih, kuah kacang akan meletup-letup macam gunung berapi.
- Jangan risau jika minyak banyak kerana ia datang daripada minyak menumis dan minyak kacang yang terbit ketika masak. Boleh buang minyak bila dah sejuk.
- Ada orang tumis dahulu bahan-bahan kisar dan cili. Boleh juga buat begitu. Resipi kuah kacang mudah daripada mak lebih sennag sebab semua dimasukkan sekali dalam satu bekas dan curah ke dalam periuk. Kuah kacang mudah disediakan dan tetap sedap dan tahan lama.
Resipi pulut tanak dalam periuk nasi.
sofea
Tq Sis.. bole cuba nie..