Cara Masak Kupang Paling Sedap | Bila masuk musim hujan dan cuaca sejuk memang masakan macam sup atau tumis air sangat mengundang, kan.
Teringat ada beli Kupang tempoh hari, jadi bila cuaca sejuk dan hujan macam ni kita keluarkan Kupang dari peti sejuk dan cadangnya nak masak Kupang Tumis Air Bersama Suhun.
Sedapnya! hirup panas-panas cecah pula dengan sambal belacan. Fuh! Memang terangkat habis! Mesti bertambah-tambah nasi dibuatnya.
Sebenarnya dulu MJ tak pernah makan Kupang atau dalam Bahasa Inggeris digelar Mussel. Tapi bila bersuamikan orang Melaka mula pandai makan Kupang.
Sejak mula pandai makan Kupang, bila memang pantang tengok orang jual Kupang di tepi jalan. Mesti nak singgah.
Besar-besar dan segar Kupang yang dijual. Fresh from Selat Melaka tau!
Setiap kali balik kampung Melaka memang wajib singgah gerai menjual Kupang. Dulu-dulu boleh dapat RM5 sekilo. Sekarang harga Kupang makin naik dan mencapai RM10 sekilo.
Pernah juga MJ beli Kupang yang frozen yang dijual di pasar raya. Tapi rasa manis Kupang frozen tak dapat menandingi kemanisan Kupang segar yang dijual di tepi jalan.
Cara Bersihkan Kupang
Kupang ni adalah hasil lautan dalam kategori bercengkerang. Kupang adalah makanan laut yang bercengkerang seperti kerang dan Lala atau Orang Utara panggil Retak Seribu.
Cara bersihkan Kerang dan Lala lebih mudah kerana hanya perlu bersihkan kotaran yang melekat pada kulit.
Tetapi, Kupang pula ada ‘bebenang’ atau ‘urat’ yang perlu dibuang. Kalau tak dibuang akan mengundang rasa tak sedap bila kita makan atau boleh buat kita tercekik.
Bebenang ini berwarna hitam dan bergumpal di dalam isi Kupang. Kadang-kadang ada juga Kupang yang sudah hilang bebenangnya
Begini Cara Bersihkan Kupang
Ini adalah cara MJ bersihkan Kupang. Mungkin orang lain ada cara yang tersendiri, kan. Mudah sahaja cara MJ buang bebenang atau urat Kupang iaitu;
- Tarik bebenang hitam keluar guna tangan saja. Bebenang hitam itu jelas kelihatan di tepi Kupang.
- Kemudian bilas dengan air bersih kerana jika tak bersih nanti akan mengundang gatal-gatal.
Cara Masak Kupang Paling Sedap
Cara masak masak Kupang paling sedap dan tak hilang rasa manisnya ada triknya. Caranya mudah sahaja iaitu;
- Masukkan Kupang ke dalam kuali atau periuk yang bertutup. Tanpa air, diulang sekali lagi tanpa air ya!
- Tutup periuk atau kuali dan biarkan masak di atas api selama 10 minit. Kita boleh nampak air Kupang keluar di dalam kuali atau periuk yang digunakan.
- Tapis dan toskan airnya.
Kupang Masak Apa Sedap
Ada pelbagai resipi yang boleh menggunakan Kupang dan ramai yang dah kongsi resepi masakan kupang.
Ramai yang dah masak kupang dan cuca resepi Kupang Masak Ala Thai, Resipi Kupang Sweet Sour, Resipi Kupang Sambal Telur, Resipi Kupang Masak Kunyit, Resipi Kupang Masak Butter, Resipi Kupang Masak Lemak, resepi kupang goreng dan lain-lain lagi.
Kali ini MJ nak kongsi cara masak Kupang yang menjadi kegemaran keluarga terutama Encik Suami. Dia boleh hadap seorang sahaja resipi Kupang Tumis Air Bersama Suhun ni. Favorite sejak kecil lagi katanya.
Resipi Kupang Tumis Air Bersama Suhun
Bahan-bahan;
1 kilogram Kupang
4 ulas bawang putih
6 ulas bawang kecil
1 inci halia
Suhun
Fucuk
500ml air
Garam
Hiasan;
1 biji cili merah, dihiris
Sedikit daun ketumbar, dihiris
Cara Membuat;
- Hiris bawang putih, bawang merah dan halia.
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk atau kuali dan tumis hirisan bawang putih, bawang merah dan halia.
- Bila dah naik bau atau keperangan, masuk air. Jika suka berkuah boleh tambah air mengikut selera masing-masing.
- Bila kuah dah mendidih, masukkan suhun dan fucuk sehingga lembut.
- Masukkan garam secukup rasa.
- Akhir sekali, masuk Kupang yang telah ditoskan ke dalam periuk dan tutup api.
- Tabur cili merah dan ketumbar yang telah dihiris.
Tip Masak Kupang
- Sebaik sahaja masukkan Kupang dalam masakan terus tutup api kerana Kupang tadi sudah masak. Kalau dibiarkan lama atas api nanti akan hilang rasa manisnya.
- Boleh juga kalau nak keluarkan isi daripada kulit sebelum dimasukkan ke dalam masakan.
- Air ketika masak Kupang perlu dibuang kerana ianya adalah air laut yang masin. Ambil Kupang sahaja dan tak perlu dibasuh sebab sudah basuh sebelumnya tadi.
- Boleh juga masuk kentang tetapi pastikan kuah tak kering sebab kentang menyerap air.
- Ada orang suka letak lada hitam, kalau suka boleh letak tapi MJ tak berapa gemar.
Cuba Resipi Asam Pedas Melaka Simple Boleh juga cuba Resipi Kerang Bakar Guna Pemanggang Ajaib.
Fuzy Rahamah Hamid
sedap kupang kalau dapat fresh tapi yg dijual di pasar lazimnya dah beberapa hari rasanya hilang rasa manis
sofea
sedapnyer sis.. dh lama tak makan kupang..
nettyahhiyer
Nampak sedap kak.. simple je. Lama betul tak makan kupang ni. Last time buat pun kelako, sebab tak reti nak kerjakan dia.
Hapsah
X sedap. Kupang rasa kosong. Sbb kita dh biasa makan kupang tu ada rasa Manis pedas… Bila masak mcm ni xde rasa apa2… Rasa original kupang tu je… Adehhhhhh kembang tekak makan…. Lain orang lain rasanya ye. Ni apa yg saya rasa. Kalau masak pedas tu berebut rebut mkn. Masak sup Gini x lakulah… Masak sup mcm ni kene ada lawan sambal belacan ke gesek ke sambal tok ke…. Makn kupang tu mcm tu je memang xde rasa apalah..