Buat peminat telur ikan, mesti pernah makan telur ikan mayong kan. Kalau tak pernah makan pun sekurang-kurang tahu tentang kewujudan ikan ini.
Ikan mayong hidup bebas di laut lepas dan telur ikan mayong juga mempunyai tekstur yang besar dan kenyal. Rasanya sedap kalau betul cara masaknya.
Kadang-kadang rasanya hanyir sebab tidak tahu cara yang sebenar untuk membersihkan telur ikan mayong.
Cara Hilangkan Hanyir Telur Ikan Mayong
Telur ikan mayong ini memang berbau hanyir. Ada beberapa cara untuk menghilangkan bau hanyir ini.
Caranya ialah potong limau kasturi dan masukkan ke dalam bekas telur ikan. Cuci dan gaul bersama limau kasturi. Limau kasturi berperanan untuk hilangkan bau hanyir yang terdapat pada telur ikan. Kemudian bilas dan toskan.
Atau satu lagi pilihan adalah dengan merendam telur ikan ini di dalam air asam jawa selama 20 hingga 30 minit.
Cara Masak Telur Ikan Mayong
Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih, kemudian rebus telur ikan sehingga separuh masak. Masak separuh masak untuk mengelakkan telur ikan menjadi terlalu kenyal.
Ketika merebus telur ikan, air rebusan akan bertukar menjadi putih kekeruhan. Jangan takut pula ya!
Penting untuk merebus telur ikan terlebih dahulu kerana jika dimasukkan sekali ke semasa memasak asam pedas, warna putih ini akan menganggu rasa, warna dan tekstur kuah kita nanti.
Sebaik-baiknya rebus telur ikan mayong dahulu sebelum masak.
Cara Buat Telur Ikan Mayong Tidak Mudah Pecah
Jangan terlalu kuat dan kerap mengacau untuk elakkan telur-telur ikan ini pecah. Kacau manja-manja sahaja sebab tekstur telur ikan ini agak kenyal setelah direbus terlebih dahulu tadi.
Resipi Telur Ikan Mayong Masak Asam Pedas
Bahan-bahan
250gram Telur Ikan Mayong
5 biji bawang merah, kisar
1 biji bawang besar, kisar
2 ulas bawang putih, kisar
2 inci kunyit hidup, kisar
2 senduk cili kisar, ikut kepedasan masing-masing
Belacan sebesar ibu jari
2 keping asam keping/asam jawa
1 kuntum bunga kantan
1 biji tomato
4 helai daun limau purut
Garam dan gula
Cara Membuat;
- Tuang sedikit minyak ke dalam periuk dan tumis belacan.
- Curah bahan kisar, tumis hingga naik bau.
- Masukkan cili kisar dan tumis hingga naik minyak.
- Bila cili dah naik minyak, masukkan garam.
- Taruh asam keping.
- Masukkan air sedikit demi sedikit ikut kepekatan yang diingini, jangan terlalu cair.
- Bunga kantan dibelah dua kemudian masukkan ke dalam periuk.
- Bawang yang telah dipotong 4 tadi masukkan ke dalam periuk dan biarkan menggelegak.
- Bila dah menggelegak masukkan telur ikan mayong dan biarkan seketika. Tak perlu lama sangat sebab kita dah rebus telur ikan itu tadi.
- Kemudian masukkan sayur bendi.
- Masukkan daun limau.
- Akhir sekali masukkan buah tomato dan rasa kuah.
- Kalau kurang masin boleh tambah garam.
Boleh juga cuba masak; Asam Pedas Daging Tetel Melaka dan Asam Pedas Melaka Simple
Telur Ikan Mayong Masak Apa Sedap
Selain asam pedas, telur ikan mayong sedap dimasak menggunakan resipi seperti masak kari, masak lemak, gulai dan goreng kunyit.
Telur Ikan Yang Sedap Dimakan
- Telur Ikan Tenggiri
- Telur Ikan Sembilang
- Telur Ikan Kembung
- Telur Ikan Duri
Harga Telur Ikan Mayong
Harga telur ikan mayong ni boleh tahan juga mahalnya, lebih kurang dalam RM60/kg. Tetapi telur ikan yang paling mahal di dunia sudah tentu jatuh kepada caviar.
Pernah lah juga merasa makan caviar dulu-dulu masa menghadiri event di hotel lima bintang.
KAVIAR (Caviar) adalah telur ikan yang disaring untuk menghilangkan tisu lemak dan membrane dimana ia biasanya masin dengan garam tanpa iodized.
Ini adalah kaedah pengawetan cara lama yang masih digunakan hingga ke hari ini. Lazimnya kaviar adalah produk mewah dihasilkan daripada Ikan Sturgeon.
Disebabkan ikan ini amat sukar didapati, harga caviar Ikan Sturgeon mampu mencecah ribuan ringgit di pasaran.
Rasa Telur Ikan Mayong
Dengan saiz telur ikan ini yang agak besar dan teksturnya kenyal ala-ala ‘boba’, rasanya memang unik dan tersendiri berbanding dengan telur seperti ikan tenggiri, ikan parang dan ikan sembilang. Masih ada rasa lemak-lemak telur ikan namun ia dalam kelasnya yang tersendiri.
Khasiat Telur Ikan
Telur ikan memang terkenal kaya dengan omega-3 yang sangat penting untuk kesihatan otak dan jantung. Telur ikan juga merupakan sumber protein yang cukup untuk keperluan seharian.
Selain itu telur ikan juga mengandungi antioksida selenium yang boleh menentang radikal bebas untuk menguatkan imun tubuh seseorang. ada banyak lagi khasiat telur ikan yang memberi manfaat kepada manusia.
Boleh juga cuba resipi Chili Butter Cream Clam