Uji Kesegaran Telur | Boleh dikatakan telur jadi barang wajib ada dalam setiap rumah. Telur menjadi bahan utama dalam masakan terutama dalam pembuatan kek dan biskut.
Telur juga jadi pilihan utama kalau lapar. Goreng telur mata kerbau, tuang kicap, potong cili padi dan makan dengan nasi panas, memang terangkat. Tak pun buat telur dadar rangup pun onz.
Kebiasaannya MJ beli telur sepapan telur. Sebab memang banyak guna untuk buat kek dan juga biskut. Dalam sepapan ada 30 biji telur.
Memang dah jadi tabiat MJ beli barang akan tengok tarikh luput dulu termasuk beli telur. Ada tertera tarikh luput telur dan kita wajib tengok.
Selepas beli kita mesti tahu cara simpan telur dengan betul. Penyimpanan telur dengan betul sangat penting agar telur tahan lebih lama.
Eksperimen Telur
Walaupun kita beli telur yang masih belum capai tarikh luput tetapi bukan bermakna telur yang dibeli masih segar. Ibarat kata orang dalam setandan pisang bukan semuanya elok.
Ada cara nak uji kesegaran telur ini. Mudah sahaja caranya guna air untuk melihat kesegaran telur tersebut.
Cara Uji Kesegaran Telur
- Bekas (lagi elok bekas kaca atau lutsinar)
- Air
- Telur
- Masukkan air ke dalam bekas.
- Kemudian masuk telur ke dalam bekas yang berisi air.
- Lihat bagaimana keadaan telur di dalam air.
Jika telur jatuh ke bawah dan berada dalam keadaan rata, itu bermakna telur tersebut segar
Jika telur terapung secara menegak, itu bermakna telur tersebut sudah berusia seminggu. Tapi masih termasuk dalam kategori segar.
Jika telur berada dalam keadaan tegak dan bahagian runcingnya di bawah, itu bermakna telur tersebut sudah berusia tiga minggu. Telur begini akan mula rosak.
Jika telur terapung dalam air dalam keadaan melintang ini bermakna telur sudahpun rosak dan tidak sepatutnya dimakan.
Ketumpatan Telur Dalam Air
Betul ke ujian menggunakan air ini relevan untuk uji kesegaran telur?
Sememangnya eksperimen ini berkesan kerana kulit telur bersifat menyerap dan membenarkan udara masuk melaluinya.
Telur yang segar akan tenggelam di dalam air kerana udara di dalamnya kurang. Manakala telur yang lama pula terapung kerana terdapat banyak ruang udara di dalamnya.
Sebaik-baiknya setelah membeli telur terus simpan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk. Telur yang disimpan di dalam peti sejuk kekal segar selama empat hingga ke lima minggu.
Jika telur yang sudah rosak usah bertangguh terus dibuang kerana boleh menjadi punca keracunan makanan.
Kenapa Telur Terapung Dalam Air Garam
Cara nak uji kesegaran telur hanya boleh diuji dengan air biasa sahaja. Ini kerana telur yang segar mahupun rosak akan terapung di dalam air garam.
Air yang berisi garam mempunyai ketumpatan (density) yang lebih tinggi berbanding air biasa.
Apabila garam dimasukkan ke dalam air, jisim akan bertambah dan menjadikan ketumpatan air garam lebih tinggi daripada air biasa.
Telur lebih tumpat daripada air. Jadi, telur akan tenggelam jika diletakkan ke dalam air biasa. Semakin tumpat cecair tersebut maka semakin senang objek akan terapung di atasnya.
Telur akan terapung dalam air garam. Jika tak percaya boleh uji sekali lagi. Tambah air ke dalam air garam tadi. Isipadu air akan bertambah dan menjadikan ketumpatan air semakin berkurang.
Jadi, telur akan kembali tenggelam.
Telur Rosak
Selain daripada menggunakan air untuk uji kesegaran telur ada juga cara lain yang boleh digunakan. Telur yang rosak boleh dikenalpasti dengan 3 cara ini;
1. Goncang Telur
Mudah sahaja caranya, letak telur ke telingan dan goncang telur. Dengar dengan teliti, jika ada bunyi cecair mengalir di dalam telur ini bermakna telur sudah rosak. Jika tidak kedengaran sebarang bunyi bermakna telur tersebut masih segar.
2. Aroma Telur
Telur yang paling cepat dikesan melalui bau ialah telur tembelang. Telur tembelang ialah telur yang tidak dapat menetas dan menjadi busuk.
MJ pernah terpecahkan telur tembelang di tangan dan baunya melekat susah nak hilang.
Telur yang segar tidak mengeluarkan bau busuk. Jadi kalau pecah telur tiba-tiba keluar bau yang tidak enak, terus buang. Tak perlu nak sayang sangat!
Rupa Telur
Rupa paras telur juga boleh menentukan kesegarannya.
Jika ada banyak selaput seperti debu, berbulu warna putih atau kelabu pada telur, itu bermakna telur tersebut sudah berkulat.
NOTA:
Telur yang diperbincangkan dalam artikel ini ialah telur ayam. Telur itik belum pernah cuba lagi.
azni
hehhehe aku selalu terlupa beli telur bila. kalau was was memg buang terus lebih selamat rasanya