Terkencing Ketika Batuk | Masalah utama yang dihadapi oleh wanita selepas menjalani proses kelahiran adalah mengalami kekenduran otot dan ligamen di sekeliling lantai pelvik.
Ini adalah perkara normal selepas melalui proses mengandung selama sembilan bulan dan proses kelahiran yang sukar dan panjang.
Otot-otot pelvis akan terlebih merenggang atau tercedera. Keadaan ini menjadi lebih teruk jika wanita itu ada ramai anak dan kelahiran yang terlalu rapat. Otot-otot yang jarang digunakan iaitu kurang senaman boleh menjadi lemah.
Otot-otot pelvis mesti boleh kontrak untuk mengawal kencing dan boleh relaks untuk membolehkan kencing, membuang air besar, hubungan suami isteri dan bersalin. Otot-otot ini juga menampung organ dalaman dan memastikan kedudukan pundi kencing ditempat yang betul.
Otot-otot pelvis boleh merenggang dan menjadi lemah bila usia meningkat.
Perubahan hormon semasa menopaus juga boleh melemahkannya. Meneran berpanjangan seperti sembelit, batuk dan berat badan yang berlebihan juga boleh melemahkan dan merosakkan otot-otot pelvis.
Bagaimanapun disebabkan terlalu peribadi dan rahsia, selalunya wanita yang kerap menjadi mangsa. Hilang kawalan pundi kencing menjadikan mereka selalu terkencing ketika batuk, bersin atau ketawa.
Keinginan ‘bersama’ suami yang menurun membuka jalan pada pasangan mencari pengganti apabila usia semakin meningkat.
Masalah yang timbul akibat otot pelvis lemah;
- Jatuh tombong atau rahim jatuh (uterine prolapsed).
- Pundi kencing jatuh (cystocoele).
- Rektum terkeluar dari lubang dubur (rectal prolapsed).
- Terkencing ketika batuk. Tidak dapat menahan kencing terutama semasa terbatuk, terbersin, tergelak atau sering terkencing sebelum sempat sampai ke tandas (urinary incontinence).
- Kencing tidak lawas.
- Keluar angin daripada faraj.
- Sakit ketika hubungan suami isteri.
Mengapa Wanita Terkencing Ketika Batuk
Masalah terkencing (urinary incontinence) berlaku apabila hilang kawalan pundi kencing misalnya terkencing ketika batuk atau bersin, gesaan kencing yang begitu tiba-tiba dan tidak dapat dikawal.
Punca masalah terkencing ketika batuk atau hilang kawalan kencing terbahagi kepada sifat sementara dan berpanjangan.
Sifat Sementara
Punca terkencing ketika batuk daripada bersifat sementara yang boleh merangsang pundi kencing adalah seperti;
- Minuman – arak, kafein, teh dan kopi yang bersifat nyahkafein, minuman berkarbonat, pemanis tiruan.
- Makanan – makanan yang mengandungi rempah, gula atau asid yang tinggi.
- Ubat-ubatan – ubat-ubatan untuk tekanan darah tinggi dan jantung, ubat tidur dan dos vitamin B dan vitamin C yang tinggi.
- Perubatan – Ia juga berpunca dari masalah perubatan yang mudah dirawat misalnya infeksi kencing dan sembelit.
Masalah Berpanjangan
- Mengandung – Perubahan hormon dan tekanan rahim terhadap pundi kencing.
- Bersalin – Proses bersalin boleh melemahkan otot-otot yang mengawal pundi kencing dan otot-otot pelvis. Ini menyebabkan otot pelvis jatuh (prolapse pelvic floor).
- Usia – Bila usia meningkat otot-otot pada pundi kencing dan saluran kencing menjadi kurang kuat atau tegang dan seterusnya longgar sehingga menyebabkan mudah terkencing.
- Menopaus – Selepas menopaus wanita menghasilkan kurang hormon estrogen yang diperlukan untuk kesihatan dinding pundi kencing dan saluran kencing dan juga kekuatan otot otot. Kenali 8 tanda menopaus.
- Histerektomi – Pundi kencing dan rahim ditampung oleh otot-otot. Pembedahan histerektomi boleh menganggu otot-otot ini lalu menyebabkan terkencing.
- Masaalah Saraf – Seperti diabetes, multiple sclerosis, Parkinson’s Disease, strok, barah otak atau kecederaan pada tulang belakang (spine).
- Berat Badan Berlebihan – Masalah berat badan yang berlebihan ini akan menyebabkan tambahan tekanan terhadap pundi kencing dan otot berhampiran.
Rawatan Tradisional Lemah Kawalan Kencing Perempuan
Sebagai seorang wanita perlu berusaha untuk memperbaiki masalah ini demi keyakinan diri dan kebahagiaan rumah tangga.
Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian begitu juga masalah terkencing ketika batuk atau kelonggaran vagina ini.
1. Behavioral Techniques
Mengajar pundi kencing (bladder drill) untuk melewatkan kencing selepas terasa gesa untuk kencing.
2. Senaman Kegel
Senaman kegel ini boleh membantu masalah terkencing ketika batuk. Apakah senaman kegel? Senaman Kegel adalah senaman kemutan yang mudah tetapi berkesan untuk menguatkan otot pelvis anda.
Senaman ini melibatkan gerakan mencengkam otot bukaan lubang najis dan lubang kencing atau mencengkam bahagian otot pelvis (seperti menahan kencing atau membuang air besar – dilakukan secara serentak)
Namun, senaman kegel ini bukan hanya untuk para wanita untuk mendapatkan otot pelvis yang kuat. Sebenarnya lelaki juga boleh membuat senaman ini untuk kesihatan kelenjar prostat mereka.
Perlu tahu tentang senaman kegel;
- JANGAN tahan nafas semasa melakukan Kegel – ini menyebabkan peredaran darah kurang efektif ke bahagian otot, sedangkan senaman ini bertujuan untuk melancarkan peredaran darah ke bahagian tersebut.
- JANGAN lakukan senaman kemutan ketika sedang kencing – ini suatu kesilapan yang biasa dilakukan. Ini kerana ia boleh menyebabkan otot pelvis semakin lemah dan bukan semakin kuat!
- JANGAN lakukan Kegel ketika pundi kencing anda penuh. Ini boleh menyebabkan kesakitan dan jangkitan kuman (kencing kotor).
Rawatan Masalah Mudah Terkencing
Rawatan bergantung pada jenis incontinence, punca dan tahap masalah itu. Pakar perubatan akan menyarankan rawatan yang kurang invasif terlebih dahulu sebelum melakukan yang lebih invasif jika gagal. Antara rawatannya ialah;
1. Rangsangan Elektrik
Rangsangan ini berlaku apabila elektrod dimasukkan sementara ke dalam vagina atau dubur untuk merangsang dan menguatkan otot tersebut.
2. Ubat-ubatan
3. Pembedahan
Pembedahan yang boleh dilakukan untuk maslaah ini seperti procedur sling, bladder neck suspension atau pembedahan prolapse. Pembedahan vaginoplasty dan vaginal rejuvenation boleh dilakukan bagi yang mengalami masalah kelonggaran vagina.
4. Rawatan Tanpa Pembedahan.
Rawatan laser CO2 ini dilakukan dengan memasukkan alat ke dalam vagina. Ia menyebabkan pembentukkan colagen baru. Rawatan tanpa pembedahan ini ada banyak kebaikan berbanding pembedahan tradisional yang sering dilakukan.
Antaranya ialah tidak sakit, tidak memerlukan bius dan prosedur memakan masa hanya 10 minit sahaja. Tidak ada kesan sampingan kecuali mungkin sedikit pendarahan dan cecair beberapa hari selepas prosedur.
Selain dari kejayaan yang tinggi dari segi masalah terkencing terdapat beberapa kebaikan lain dalam prosedur ini termasuk vagina yang lebih tegang dan lebih lembab.
Walau bagaimanapun tidak semua wanita layak untuk menjalani prosedur ini. Jika gagal mengatasi masaalah terkencing pesakit disarankan menjalani pembedahan.
Kesimpulan
Masalah terkencing ketika batuk dan kelonggaran vagina ini kerap berlaku dan oleh kerana ia dianggap memalukan, wanita agak keberatan untuk berjumpa doktor.
Jika ia mengganggu kehidupan harian seseorang itu berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat. Bagi kebanyakan pesakit apabila masalahnya tidak serius dengan perubahan gaya hidup atau ubat-ubatan mungkin boleh membantu.
Baca juga; Punca Kerap Kencing Ketika Hamil