Cara Hilangkan Jeragat | Memang fitrah seorang wanita akan rasa terganggu apabila kulit wajah mempunyai jeragat. Dah tahu dah ianya hanya masalah kulit biasa dan bukannya penyakit. Tapi bintik-bintik gelap kecil yang terbentuk pada permukaan kulit boleh menggugat keyakinan diri seseorang. Jeragat boleh mempengaruhi sesiapa sahaja tanpa mengira jenis kulit dan sering menjadi tanda kekeringan kulit atau faktor genetik. Peluang berjumpa dengan Dr Diana dari Klinik Dr Diana telah membuka mata dengan pendedahan jelas tentang jeragat ni. Rupanya terdapat pelbagai rawatan dan kaedah pencegahan yang boleh membantu mengurangkan jeragat. Memahami punca serta penjagaan yang betul adalah penting untuk menguruskan masalah jeragat dengan berkesan.
Apakah Itu Jeragat
Jeragat atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai melasma atau chloasma. Ia adalah keadaan kulit yang menyebabkan pembentukan tompok-tompok berwarna coklat atau kelabu di wajah.
Jeragat disebabkan oleh penompokan melanin di kawasan tertentu. Ia sering kali dilihat sebagai masalah kosmetik dan biasanya berlaku akibat pendedahan berlebihan kepada sinaran UV, perubahan hormon atau radang kulit.
Apakah Itu Melanin
Sebelum bercerita tentang lebih lanjut tentang jeragat adalah penting untuk mengetahui apakah itu melanin. Melanin memainkan peranan penting dalam penggelapan kulit. Ia adalah pigmen semula jadi yang dihasilkan oleh sel melanosit dalam kulit kita.
Fungsi utamanya adalah untuk melindungi kulit dari sinaran UV dengan menyerap dan menyerakkan tenaga dari cahaya matahari.
Melanin juga bertanggungjawab untuk memberikan warna kepada kulit kita, sama ada gelap atau cerah.
Penghasilan melanin dapat dipengaruhi oleh faktor genetik, pendedahan kepada matahari, dan perubahan hormon.
Ini menjadikan melanin sebagai faktor utama dalam menentukan warna kulit seseorang dan juga dalam perkembangan masalah kulit seperti jeragat dan hiperpigmentasi.
Cara Hilangkan Jeragat Dengan Cepat
Menurut Dr Diana ketika ditemui di Klinik Dr Diana yang terletak di Bandar Baru Bangi, jeragat biasanya tidak mudah dihilangkan tetapi boleh dipudarkan atau dikurangkan. Namun sebelum melakukan apa-apa rawatan jeragat adalah penting untuk kita melakukan 2 langkah utama ini terlebih dahulu;
Kenalpasti Jenis Jeragat
Cara hilangkan jeragat dengan cepat adalah dengan berjumpa dengan doktor atau pakar kulit dan estetik bertauliah. Mereka boleh mengenalpasti jenis-jenis jeragat yang terdapat pada kulit wajah berbanding dengan mereka yang tidak bertauliah.
Jeragat boleh dikategorikan kepada beberapa jenis berdasarkan penampilan dan kedalaman pigmen dalam kulit. Cara hilangkan jeragat boleh diketahui selepas menhgenali jenis-jenis jeragat yang utama:
Jenis Jeragat
Epidermal Melasma
Jeragat ini biasa kita panggil sebagai freckle. Ia berlaku pada lapisan luar kulit (epidermis) dan biasanya mempunyai warna coklat gelap. Tompok-tompok ini lebih mudah dirawat kerana pigmen melanin terkumpul di lapisan atas kulit dan lebih responsif terhadap rawatan topikal dan prosedur kosmetik.
Dermal Melasma
Jeragat jenis ini berlaku pada lapisan dalam kulit (dermis) dan mempunyai warna kelabu atau kebiruan. Pigmen melanin terperangkap lebih dalam di dalam kulit, menjadikannya lebih sukar untuk dirawat berbanding jeragat epidermal. Rawatan mungkin memerlukan pendekatan yang lebih intensif seperti terapi laser.
Campuran Melasma
Ini adalah kombinasi jeragat epidermal dan dermal. Tompok-tompok ini mempunyai warna yang berbeza-beza antara coklat gelap dan kelabu. Kerana melibatkan kedua-dua lapisan kulit, rawatan mungkin memerlukan kombinasi kaedah untuk mencapai hasil yang optimum.
Post-Inflammatory Hyperpigmentation (PIH)
Jeragat jenis ini berlaku selepas kulit mengalami trauma atau inflamasi seperti jerawat, luka bakar, atau ruam. PIH muncul sebagai tompok-tompok gelap di kawasan yang terlibat dan boleh berlaku di mana-mana bahagian badan. Walaupun tidak diklasifikasikan sebagai melasma, ia sering disalah anggap sebagai jeragat kerana penampilannya yang serupa.
Jeragat Matahari (Solar Lentigines)
Juga dikenali sebagai bintik matahari atau bintik usia, jeragat ini biasanya muncul akibat pendedahan yang berpanjangan kepada sinar UV. Mereka sering muncul di kawasan yang terdedah kepada matahari seperti wajah, tangan, dan lengan. Jeragat matahari berwarna coklat dan boleh berbeza dari segi saiz.
Jeragat Hormonal
Jeragat yang disebabkan oleh perubahan hormon, biasanya semasa kehamilan, pengambilan pil perancang, atau terapi hormon. Ini termasuk “topeng kehamilan” yang sering muncul di kawasan pipi, dahi, dan di atas bibir.
Setiap orang mungkin boleh memiliki beberapa jenis jeragat yang berbeza. Maksudnya dia mungkin boleh memiliki freckle, melasma dan beberapa jenis yang lain.
Menurut Dr Diana rawatan jeragat yang paling sukar dilakukan ialah jeragat yang berpunca daripada penyalahgunaan produk atau produk yang mengandungi bahan terlarang.
Dengan memahami jenis-jenis jeragat, seseorang dapat memilih rawatan yang paling sesuai dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang efektif.
Dapatkan Rawatan Daripada Doktor Yang Bertauliah
Bila dah kenalpasti tentang jenis-jenis jeragat dan rawatannya, langkah kedua yang perlu dilakukan ialah di mana kita perlu mendapatkan rawatan jeragat. Sebagai pengguna bijak kita perlu memilih;
Pakar Kulit dan Estetik Bertauliah
Pemilihan Pakar Kulit dan Estetik bertauliah ini sangat penting kerana perkhidmatan mereka dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Terutama yang melibatkan rawatan invasif iaitu rawatan melibatkan memasukkan jarum dan darah ke dalam tubuh pesakit.
Konsep 3P
Wanita yang mahu mendapatkan rawatan kulit dan estetik perlu mengetahui konsep 3P sebagai garis panduan sebelum mendapatkannya.
- Prosedur iaitu mengenal pasti prosedur invasif atau tidak. Hanya doktor berkelayakan dibenarkan menjalankan prosedur invasif.
- Pengamal perubatan (doktor). Hendaklah memastikan pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia dan Amalan Perubatan Estetik daripada KKM.
- Premis iaitu wanita yang mahu mendapatkan rawatan kulit dan estetik perlu memastikan prosedur invasif dijalankan di premis jagaan kesihatan berdaftar (klinik atau hospital).
Kaedah Rawatan Kulit Jeragat
- Laser
- Chemical Peel
- Ubat-ubatan
Punca Berlakunya Jeragat
Pendedahan kepada Cahaya Matahari
Cahaya UV dari matahari adalah penyebab utama jeragat. Sinar UV merangsang sel pigmen dalam kulit (melanosit) untuk menghasilkan lebih banyak melanin, yang menyebabkan pembentukan tompok-tompok gelap.
Perubahan Hormon
Wanita lebih cenderung mengalami jeragat kerana perubahan hormon, terutamanya semasa kehamilan, pengambilan pil perancang, atau terapi hormon. Ini dikenali sebagai “topeng kehamilan” atau chloasma gravidarum.
Genetik
Faktor genetik juga memainkan peranan dalam pembentukan jeragat. Jika ahli keluarga anda mempunyai jeragat, anda mungkin lebih berisiko mengalaminya.
Penggunaan Produk Kosmetik
Beberapa produk kosmetik yang mengandungi bahan kimia keras boleh menyebabkan iritasi dan memperburuk keadaan jeragat.
Tekanan dan Kecederaan Kulit
Tekanan atau kecederaan pada kulit, seperti parut atau ruam, boleh mencetuskan penghasilan melanin yang berlebihan.
Pencegahan Jeragat
Elakkan Pendedahan Matahari
Mengurangkan masa yang dihabiskan di bawah sinar matahari, terutama antara pukul 10 pagi hingga 4 petang.
Gunakan Pelindung Matahari
Sapukan pelindung matahari setiap hari, walaupun pada hari mendung atau ketika berada di dalam rumah. Krim pelindung matahari boleh disapu seawall-awalnya umur 6 bulan. Krim pelindung mempunyai SPF 30 PA +++ ke atas dan kerap menyapu semula selama 2 jam sekali.
Pakai Topi dan Cermin Mata Gelap
Ini boleh membantu melindungi wajah daripada sinar UV.
Jaga Kulit dengan Produk yang Sesuai
Elakkan produk yang boleh merengsakan kulit dan gunakan produk yang sesuai dengan jenis kulit anda.
Jeragat adalah masalah kulit yang biasa dan boleh dirawat. Namun, kesabaran dan konsistensi dalam penjagaan kulit adalah penting untuk melihat hasil yang positif.
Baca juga; cara jangkitan kulat pada faraj, ubat sakit gigi, rabun warna boleh dirawat