Cara Diet Eat Clean | Mahu kelihatan kurus dan mahu hidup lebih sihat adalah antara alasan yang sering digunakan ketika baru mengamalkan diet atau pemakanan yang sihat.
Perkataan diet itu sendiri sangat berbeza mengikut persepsi individu. Ada yang mahu kurus dengan menyekat pengambilan nasi, ada yang mengamalkan diet protein dan tidak kurang juga yang menyekat semua makanan masuk ke dalam tubuh.
Biasa mendengar rakan yang tidak berjaya menurunkan berat badan walau sudah mengamalkan diet? Mungkin cara yang dilakukan adalah salah dan tidak seimbang.
Namun, dalam kehidupan yang moden yang serba pantas menjadi cabaran untuk mengamalkan pemakanan yang sihat. Serba-serbi segera mungkin menjadi penghalang untuk diet yang seimbang.
Budaya Eat Clean sedang trending di kalangan netizen dan mula dipopularkan di Amerika Syarikat oleh seorang Pakar Diet, Tosca Reno.
Walau bagaimanapun, konsep eat clean ini bukan sesuatu yang baru dan ianya bukan merupakan konsep diet tetapi, lebih kepada tabiat pemakanan sihat.
Apakah Itu Eat Clean
Eat clean adalah konsep memilih pilihan makanan yang lebih sihat dalam setiap kumpulan makanan dan mengelakkan makanan yang tinggi kandungan lemak, tinggi gula, tinggi garam serta makanan diproses.
Cara diet eat clean ini juga merangkumi makan makanan seimbang, pelbagai dan sederhana juga merangkumi kelima-lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.
Ini bermakna cara diet eat clean adalah amalan makan secara sihat untuk mendapat gabungan nutrien penting dan tenaga dengan sempurna untuk melakukan aktiviti harian.
Tidak ada satu pun jenis makanan dapat memberi ke semua tenaga, nutrien dan komponen makanan yang kita perlukan.
Selain pengambilan makanan cara penyediaan makanan juga perlu lebih sihat seperti pengunaan perkakas memasak. Jangan guna Kuali Non Stick Bahaya jika tercalar
Bagaimana Cara Diet Eat Clean
Setiap kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia mempunyai perbezaan daripada segi fungsi dan kebaikan.
Dalam amalan eat clean, pemilihan makanan yang lebih sihat diutamakan dalam setiap kumpulan makanan. Bagaimana cara diet eat clean sepatutnya dilakukan adalah:
- Pemilihan karbohidrat kompleks dan produk berasaskan bijirin penuh daripada karbohidrat ringkas.
- Pengambilan dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari.
- Pengambilan sumber protein dengan cara masakan yang lebih sihat tanpa penggunaan minyak yang banyak.
- Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana berdasarkan kepada saiz hidangan yang disarankan untuk setiap kumpulan makanan.
- Tidak mengambil makanan yang tinggi kalori, lemak, garam dan gula. Terdapat banyak makanan yang tinggi kalori tetapi rendah kandungan nutrien yang lain.
- Tidak mengambil makanan yang diproses tetapi lebih kepada pengambilan makanan yang segar atau menggunakan cara masakan yang lebih sihat seperti panggang, stim, rebus dan bakar.
Siapa Yang Boleh Amalkan Eat Clean
- Eat clean boleh diamalkan oleh semua orang pada setiap peringkat umur kerana ia adalah lebih kepada amalan makan secara sihat. Jadi, tidak semestinya wanita sahaja yang perlu mengamalkan eat clean.
- Walau bagaimanpun, apabila seseorang wanita mengamalkan eat clean, secara tidak langsung, wanita itu boleh juga memainkan peranan untuk menanam tabiat gaya hidup sihat kepada keluarga terutama anak-anak sejak kecil.
- Contohnya melalui penyediaan hidangan yang berkhasiat kepada keluarga.
- Eat clean boleh diamalkan oleh semua orang walaupun mempunyai penyakit seperti diabetes, jantung dan darah tinggi.
- Secara ringkas, amalan yang ditekankan dalam eat clean iaitu pengambilan karbohidrat kompleks dan pengurangan makanan yang tinggi gula seperti minuman manis adalah bersesuain dengan amalan diet yang patut diamalkan oleh pesakit diabetes.
- Tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan garam pula adalah sesuai dengan pesakit darah tinggi dan tidak mengambil makanan yang tinggi lemak baik untuk pesakit jantung.
- Walaubagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan Khidmat Runding Cara Pemakanan yang tepat daripada doktor atau pakar pemakanan.
Keburukan Amalan Eat Clean
Eat clean atau makan secara sihat ini adalah kunci kepada pengekalan berat badan yang sihat dan pencegahan penyakit berkaitan pemakanan.
Ianya juga berkesan menurunkan berat badan dengan konsisten dan berkekalan.
Eat clean tidak mempunyai keburukan.
Tetapi, masyarakat perlu diingatkan, formula untuk kekal sihat adalah penyeimbangan antara amalan makan secara sihat dan aktiviti fizikal. Kedua-dua perkara ini adalah sama penting.
Jadi walaupun mengamalkan diet eat clean, masyarakat masih perlu mengamalkan senaman atau aktiviti fizikal sebaik-baiknya setiap hari, sekurang-kurangnya 30 minit.
Tidak ada jalan pintas untuk menjadi sihat dan cantik.
Semua orang sama ada muda atau tua, harus mengamalkan tabiat makan secara sihat dan gaya hidup yang aktif setiap hari.
Obsesi Eat Clean
Memang tidak dinafikan ada segelintir wanita yang obsesi dengan eat clean.
Ini mungkin kerana mereka terlalu ingin cepat kurus sehingga mereka lupa ini bukanlah sesuatu yang hanya dilakukan untuk mendapat berat badan yang ideal.
Tetapi, ianya adalah tabiat makan secara sihat yang perlu diamalkan secara berterusan untuk kekal sihat dan salah satu langkah pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit (diabetes, darah tinggi dan sakit jantung).
Cheat Day Dalam Diet
Kadang-kadang terasa ingin makan makanan yang telah disekat sehingga digelar cheat day dalam diet.
Adakah cheat day dalam diet boleh mengganggu atau mengganggu rutin eat clean? Prinsip asas dalam amalan makan secara sihat atau cara diet eat clean adalah dengan mengawal pengambilan kalori.
Namun, ia tidak bermakna tidak boleh langsung menikmati makanan yang sedap atau mengikut diet yang sangat rendah kandungan kalori.
Sekiranya teringin makan sesuatu yang tinggi lemak, contohnya seperti kek coklat, pada hari tersebut perlu tingkatkan aktiviti fizikal yang dilakukan agar keseimbangan tenaga dapat dicapai untuk membakar lebihan kalori.
Prinsip asas iaitu keseimbangan tenaga boleh membantu ke arah mengekalkan berat badan ideal dan pengambilan makanan yang lebih sihat.
Walau bagaimanapun, cheat day dalam diet tidak boleh sering dilakukan, kerana ditakuti akan menjadi kebiasaan.
Jika pengambilan makanan harian lebih kerap mengatasi aktiviti fizikal akan berlaku pertambahan berat badan dan boleh mengakibatkan obesiti.
Ini seterusnya boleh meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, jantung dan darah tinggi.
10 Langkah Eat Clean Mulakan Dari Sekarang
- Makanan segar. Memetik sayur-sayuran atau buah-buahan di belakang rumah adalah langkah yang bijak. Makanan segar adalan makanan yang sihat.
- Pilih satu. Jika makanan hanya mengandungi satu bahan fikir tentang susu, brokoli, quinoa kering, ayam dan sumber kekacang.
- Makan mentah. Buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak atau diproses adalah yang terbaik.
- Pilih organik. Pilihan organik ini penting kerana bebas daripada baja kimia, hormon, steroid dan penyembur serangga.
- Pilih makanan yang diketahui. Pastikan ketika memilih makanan ada mengetahui apakah isi kandungannya. Jika tidak tahu lebih baik elakkan.
- Utamakan sayur-sayuran. Sayur-sayuran kaya dengan vitamin, mineral, antioksisa dan fiber. Sayur-sayuran hampir tidak mempunyai kalori, gula dan toksin yang menjadi punca berat badan bertambah dan masalah kesihatan.
- Elak gula. Jika masih mahu menikmati rasa manis dalam makanan pilih madu atau sirap maple yang semula jadi dan lebih sihat.
- Masak di rumah. Kebanyakan peniaga makanan mengambil langkah yang mudah ketika penyediaan makanan. Tambahan bahan perasa juga memberi kesan yang buruk.
- Fokus diet. Apa sahaja jenis diet yang diamalkan asal makan makanan yang segar teruskan diet yang terbaik untuk tubuh anda.
- Nikmati setiap gigitan. Menikmati setiap makanan adalah cara untuk mengekalkan tabiat makan sihat.
Baca juga; Tip Pilih Beras