Pulut Inti Kelapa Yang Mudah | Bila usia makin meningkat, mula ‘mengidam’ makan makanan warisan yang pernah dimakan dulu-dulu.
Makan pulut ni bukan menjadi kebiasaan dulu-dulu. Makan pulut hanya boleh dimakan ketika kenduri saja. Mungkin sebab dulu susah nak dapat bekalan pulut.
Tapi kini hidangan pulut dah dipopularkan menjadi menu istimewa seperti pulut mangga atau dimakan bersama cendol.
Pulut inti kelapa manis ini ada cerita yang tersendiri.
Kisahnya, bila setiap kali balik kampung di Tapah, pasti suami akan singgah ke gerai Ujang (nama pemilik kedai) yang terletak di depan tapak lama pasar Tapah. Tujuannya tak lain dan tak bukan sebab nak beli pulut inti kelapa manis ni.
Suami memang peminat tegar pulut inti kepala manis kedai tu. Kena keluar awal pagi macam pukul 8.00 pagi macam tu semata-mata nak beli pulut. Kalau lambat sikit memang tak merasa sebab dah habis.
Pulut dia memang superb lengkap semua rasa yang patut ada pada pulut. Intinya juga sedap cuma kemanisan pada inti kelapa tu datang dari gula merah atau gula kabung.
Kalau dah orang Melaka memang gula melaka dah sebati dengan jiwa suami. Suami asyik kata kalau guna gula melaka ori mesti lagi sedap.
Jadi isteri, cuba buat sendiri pulut inti kelapa yang mudah. Rupanya memang tak susah masak pulut ni kalau betul caranya.
Cara Buat Pulut Inti Kelapa
Ada beberapa cara buat pulut inti kelapa yang mudah MJ cuba. Dalam banyak-banyak cara resipi pulut inti kelapa yang dikongsikan ini adalah yang mudah, sedap dan gerenti jadi.
Paling penting, suami puji dan katanya lepas ni dah tak payah nak tergesa-gesa ke gerai di Tapah yang jual pulut inti kelapa manis lagi dah.
Resipi Inti Kelapa
Bahan;
½ biji kelapa parut putih
1 ketul gula melaka
1 sudu besar gula pasir
2 sudu besar tepung gandum
2 helai daun pandan (disimpul)
½ cawan air
½ sudu teh garam
Cara membuat;
- Gula melaka ni kadang-kadang ada lebihan atau ketulan yang tak diperlukan. Jadi MJ masak dulu gula melaka bersama daun pandan, gula pasir dan sukatan air dalam periuk.
- Guna api sederhana dan bila gula dah larut, tapis ke dalam kuali atau periuk yang nak digunakan.
- Tambah kelapa parut dan kacau sebati. Masak sehingga sedikit kering kemudian masukkan tepung gandum.
- Kacau hingga kering tapi masih lagi lembab. Kalau terlalu kering inti kelapa tak berapa sedap.
- Dah siap dan boleh sejukkan.
Kelapa juga digunakan buat kerisik. Boleh cuba buat kerisik homemade sedap dan tahan lama.
Pulut Inti Kelapa Che Nom
Ada beberapa kaedah untuk kukus pulut ni. Dah beberapa cara juga MJ cuba tapi yang paling berjaya ikut resipi Pulut Inti Kelapa Che Nom. MJ ikut cara Che Nom buat pulut di resipi serawa durian dan pulut kukus.
MJ kecilkan lagi sukatan bahan yang digunakan sebab kami suami isteri sahaja yang makan dan kalau boleh untuk sekali makan jer pulut ni. Tak payah nak simpan dalam peti sejuk.
Kalau nak masak masak boleh gandakan sukatan tersebut.
Bahan;
250 gram pulut susu
½ cawan pati santan
1 helai daun pandan (disimpul)
Sedikit garam
Cara membuat;
- Rendam pulut selama beberapa jam (anggaran 2 hingga 3 jam)
- Panaskan kukusan dan kukus pulut bersama daun pandan dalam bekas tapis selama 15 hingga 20 minit. Boleh tambah jika pulut masih tak masak.
- Angkat pulut dari kukusan dan masuk ke dalam mangkuk.
- Masukkan garam ke dalam santan dan boleh rasa ikut masin pulut yang disukai. Ada orang suka rasa masin dan ada orang suka tawar.
- Tuang santan ke dalam pulut yang panas tadi dan tutup dengan kain.
- Rehatkan seketika supaya pulut serap santan tadi.
Tip Kukus Pulut MJ
MJ pernah beberapa kali cuba kukus pulut yang diletakkan ke dalam loyang. Tapi kejadian pulut tu macam tak menjadi. Bila kukus dengan bekas tapis seperti dalam gambar baru hasilnya jadi cantik dan pulut masak.
Cara Bungkus Pulut Inti
Cara bungkus pulut inti manis yang terbaik ialah menggunakan daun pisang. Bungkus macam nasi lemak dan biarkan inti kelapa nampak sedikit.
Gabungan daun pandan masa masak pulut dan daun pisang ketika membungkus sememangnya membangkitkan nostalgia.
Tapi kadang-kadang tak sempat bungkus pun dah ada yang mencedoknya dan tinggal sikit jer. Tak sempat nak dibungkus.
Boleh cuba petua turunkan kolesterol dengan cara ini.