Tiba-tiba teringin nak makan pucuk ubi goreng seperti yang dikongsikan oleh Dato’ Rizalman. Pucuk ubi goreng adalah hidangan tradisional yang berasal dari Negeri Sembilan. Hidangan ini merupakan menu istimewa dan sering dimakan dengan nasi putih panas. Pucuk ubi goreng juga popular di Pulau Pinang dan ada juga yang menggorengnya dengan telur masin atau ikan masin. Tiba-tiba teringin tu jadi bila hujung minggu baru ni En. Suami mengemas pokok-pokok depan rumah. Dia bagi satu plastik besar pucuk ubi kerinting. Biasa kalau sikit-sikit rebus jer dan makan dengan kuah pecal. Ini banyak pulak, itu yang timbul idea nak buat pucuk ubi goreng, buat pedas sikit memang sedap.
Resepi Pucuk Ubi Goreng
Bahan-bahan
- 1 besen besar pucuk ubi
- 1 mangkuk kecil ikan bilis
- 2 biji bawang besar, dihiris
- 1 keping asam keping
- 1 inci belacan
- 1 keping ikan masin kurau.
- Segenggam cili kering
- Gula dan serbuk perasa
Cara Membuat
- Basuh bersih pucuk ubi dan keringkan. Boleh juga guna salad spinner untuk mengeringkan pucuk ubi.
- Basuh bersih cili kering, kemudian rebuskan dan toskan. Kisar dengan blender kering atau chopper.
- Basuh bersih ikan bilis dan keringkan. Gaul dengan tepung beras atau gaul dengan cuka makan untung merangupkan ikan bilis goreng.
- Goreng ikan masin dan kisar halus.
- Tuang minyak (agak banyak) ke dalam kuali. Apabila dah panas goreng pucuk ubi sehingga ranggup (rupa macam berkaca) dan toskan.
- Goreng ikan bilis sehingga rangup dan toskan.
- Tumis bawang sehingga caramelized kemudian masukkan cili kering yang telah dikisar (tanpa air).
- Kacau sehingga pecah minyak dan masukkan gula serta serbuk perasa.
- Kacau seketika dan masuk belacan dan asam keping dan gaul sebati.
- Masak sehingga cili masak dan kering sedikit.
- Masuk ikan masin yang telah dikisar halus. Kacau seketika dan tutup api.
- Masuk ikan bilis dan pucuk ubi serta gaul sebati.
- Bila dah sebati masuk ke dalam tapis besar untuk membuang lebihan minyak.
- Biarkan sehingga sejuk.
- Bila dah sejuk boleh masuk ke dalam bekas kedap udara agar tahan lama.

Tip Masak Pucuk Ubi Goreng
- Pucuk ubi perlu dikeringkan betul-betul sebab untuk mengelakkan tangan terpercik dengan minyak panas. Sebab kalau ada air pada daun semasa menggoreng, minyak panas akan terkena tangan. Lebih parah lagi kalau terkena muka.
- Ikan bilis memang kena rangup baru sedap. Kalau ikan bilis lemau dan hilangkan ‘kick’ pucuk ubi goreng kita.
- Ikan masin sebagai optional. Boleh digantikan dengan telur masin atau tanpanya pun boleh juga. Tapi kalau guna ikan masin atau telur masin tak perlu meletakkan garam dalam masakan atau boleh rasa terlebih dahulu semasa proses akhir masakan. MJ tak letakkan garam pun dalam masakan ini.
- Guna kuali besar untuk proses menggaul bahan pucuk ubi goreng ini agar sekata dan tak tumpah.
- Guna 2 sudip jika perlu untuk meratakan semua bahan.

Jenis Pucuk Ubi
Terdapat 5 jenis pucuk ubi yang biasanya dimakan di Malaysia. Setiap jenis pucuk ubi ini mempunyai khasiat dan cara masak yang berbeza.
Pucuk Ubi Ajinamoto Atau Pucuk Ubi Chaya
Daun pucuk ubi ajinomoto bersegi seperti daun betik, rasanya lemak-lemak manis, dan teksturnya sederhana lembut.
Baca juga; cara tanam pokok chaya atau pokok ajinomoto.
Pucuk Ubi Pulut (Batang Putih)
Daun pucuk ubi pulut lebar, rasanya hambar, dan teksturnya lembut.
Pucuk Ubi Kerinting
Daun pucuk ubi kerinting seperti namanya berbentuk kerinting, rasanya sedikit pahit, dan teksturnya paling lembut.
Pucuk Ubi Batang Merah
Daun pucuk ubi batang merah berbentuk lebar, rasanya sedikit masam, dan teksturnya sederhana lembut.
Pucuk Ubi Ekor Kucing
Daunnya runcing dan panjang, rasanya sedikit manis, dan teksturnya agak kasar.

Khasiat Pucuk Ubi
Daun pucuk ubi kayu adalah daun muda dari pokok ubi kayu, yang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Antara manfaat daun pucuk ubi kayu adalah:
- Meningkatkan daya tahan, kerana ia mengandungi tahap vitamin C yang tinggi.
- Mengekalkan kesihatan mata, kerana ia mengandungi tahap vitamin A yang tinggi.
- Mencegah osteoporosis, kerana ia mengandungi tahap kalsium dan fosforus yang tinggi.
- Ia mempunyai sifat anti-radang, kerana ia mengandungi tanin, flavonoid dan terpenoid.
- Mencegah cirit-birit, kerana ia mengandungi serat makanan yang tinggi.
- Mencegah penuaan pramatang, kerana ia mengandungi antioksidan yang tinggi.
- Mempercepatkan pertumbuhan rambut, kerana ia mengandungi protein lisin yang tinggi.
Korang boleh mendapatkan khasiat daun pucuk ubi kayu dengan memprosesnya menjadi sayur, ulam, atau kerabu. Namun, pastikan korang memasaknya dengan betul untuk mengeluarkan racun yang terkandung di dalamnya.
Baca juga; cara tanam rumput helikopter, cara tanam kangkung, resepi guna daun kesum