Cara tanam rumput helikopter | Bagi pencinta kucing mesti susah hati bila anak bulus tak aktif dan nampak macam tak sihat. Memang tak senang duduk dibuatnya tambah-tambah bila tengok anak bulus tak lalu makan dan mengalami cirit-birit. Jalan terbaik adalah dengan membawanya ke Vet tapi sebagai salah satu usaha sebelum mendapatkan rawatan di klinik veterinar boleh cuba rawatan alternatif ini. Memberi anak bulus minum air rebusan rumput helikopter dikatakan boleh membantu memberi kelegaan kepada kucing atau anak bulus kesayangan.
Rumput helikopter atau nama saintifiknya adalah Kyllinga brevifolia juga digelar rumput pendul, rumput kepala lalat, rumput mata lalat, rumput pendul, sui wu gong, bosikad, dan pakopako. Terdapat 2 jenis rumput helikopter iaitu rumput helikopter bunga putih dan rumput helikopter bunga hijau.
Beza Rumput Helikopter Bunga Hijau Dan Rumput Helikopter Bunga Putih
Rumput Helikopter Bunga Hijau | Rumput Helikopter Bunga Putih |
---|---|
Rumput helikopter bunga hijau mempunyai bunga yang berwarna hijau muda. | Rumput helikopter bunga putih mempunyai bunga yang berwarna putih. |
Rumput helikopter bunga hijau mempunyai daun yang lebih banyak dan lebar. | Rumput helikopter bunga putih mempunyai daun yang hanya tiga helai dan lebih sempit. |
Rumput helikopter bunga hijau kurang dikenali dan digunakan untuk tujuan perubatan. | Rumput helikopter bunga putih lebih popular dan dikatakan mempunyai khasiat untuk merawat kucing yang sakit parvo, demam, atau selsema. |
Cara Tanam Rumput Helikopter Bunga Putih
Rumput helikopter bunga putih ini sebenarnya mudah ditemui dan tumbuh liar di tepi jalan, padang rumput dan parit. Tapi seperti biasa kalau mencari memang tak jumpa. Kalau tak cari asyik lalu depan mata kan. Jadi, kalau kucing kita sering sakit lebih baik tanam sendiri jer rumput helikopter ni. Tak susah mana pun sebab rumput ini tak banyak kerenahnya.
Cara Menanam Rumput Helikopter Dalam Pasu
Kalau dah namanya rumput memang tumbuh subur tambah-tambah kalau cukup baja. Takut nanti kawasan rumah penuh dengan rumput helikopter nanti. Silap-silap orang ingat rumah tinggal pula. Jadi jalan terbaik adalah dengan menanam rumput helikopter dalam pasu.
- Syarat penting menanam rumput helikopter dalam pasu adalah kena pilih campuran tanah yang sesuai dan memberi penjagaan yang baik. Campuran tanah yang disarankan adalah tanah hitam (tanah subur), pasir, dan kompos dengan nisbah 2:1:1. Tanah campuran ini akan menjadikan tanah subur, gembur, dan berudara.
- Cabut rumput helikopter bersama akarnya dari kawasan yang tumbuh liar. Bersihkan tanah dari akar dan daun dengan air bersih. Potong atau patahkan batang menjadi beberapa bahagian yang pendek.
- Cucuk rumput helikopter ke dalam pasu yang berisi tanah dan pastikan akar dan sebahagian batang tertutup dengan tanah. Tekan tanah dengan lembut untuk memadatkan.
- Siram rumput helikopter dengan kerap tetapi jangan terlalu basah.
- Letakkan pasu di tempat yang mendapat cahaya matahari yang cukup.
- Jika rumput helikopter nampak tak berapa menjadi boleh letak baja organik yang sesuai untuk tanaman hias.
Cara Menanam Rumput Helikopter Atas Tanah
Kalau mempunyai tanah yang lapang dan mahu menanam rumput helikopter ini atas tanah, apa salahnya. Lagi baik kalau wakafkan untuk kegunaan orang ramai, besar pahalanya tu. Caranya lebih kurang sama dengan tanam rumput helikopter dalam pasu.
- Pertama sekali pastikan tanah yang mahu digunakan adalah tanah yang subur.
- Tanam rumput helikopter dengan jarak antara 10 hingga 15 cm di atas tanah. Pastikan akar dan sebahagian batang tertutup dengan tanah. Tekan tanah dengan lembut untuk memadatkan.
- Siram rumput helikopter dengan air secukupnya setiap hari. Jangan biarkan tanah kering atau tergenang. Rumput helikopter memerlukan kelembapan yang sederhana.
Baca juga; cara tanam pokok chaya, cara tanam kangkung
Khasiat Rumput Helikopter
Khasiat rumput helikopter ini dikatakan boleh membantu sakit parvo pada kucing. Sakit parvo adalah sejenis penyakit virus yang bahaya. Penyakit ini disebabkan oleh virus parvo atau parvovirus, yang boleh merosakkan sel darah merah dan usus kucing.
Gejala-gejala yang biasa ditunjukkan oleh kucing yang terkena sakit parvo adalah:
- Muntah
- Cirit-birit atau cirit-birit berdarah
- Dehidrasi
- Penurunan berat badan
- Demam tinggi
- Anemia
- Bulu kasar
- Depresi
Sakit parvo pada kucing boleh merebak melalui sentuhan atau cecair daripada kucing yang dijangkiti. Kucing yang berumur antara 4 hingga 12 minggu paling mudah dijangkiti tetapi, kucing dewasa yang tidak divaksin juga berisiko tinggi.
Rawatan untuk sakit parvo pada kucing belum ada yang spesifik, tetapi kucing yang dijangkiti perlu mendapat rawatan sokongan seperti penggantian cecair, antibiotik, dan ubat anti-muntah. Pencegahan yang paling baik adalah dengan memberi vaksin kepada kucing sejak kecil dan menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal kucing.
Cara Rebus Rumput Helikopter
Rumput helikopter bunga putih ini dikatakan mempunyai khasiat untuk merawat kucing yang sakit parvo, demam, atau selsema dengan merebusnya dan memberi air rebusannya kepada kucing.
Mudah saja proses merebus rumput helikopter ni.
- Cabut rumput helikopter dengan akarnya sekali
- Potong pendek-pendek sebab untuk mudahkan masuk dalam periuk.
- Basuh bersih dan rebus dalam periuk. Pastikan air menutupi bahagian rumput.
- Rebus sehingga 30 minit atau rumput telah lembut.
- Bila air rebusan dah sejuk, tapis dan masukkan ke dalam botol.
- Bila nak bagi kepada kucing hanya campurkan air rumput helikopter ke dalam air minuman kucing tak ada sukatan spesifik boleh letak banyak mana mengikut kita.
Semoga usaha kita ini dapat membantu anak bulus tersayang mengawal rasa sakitnya. Selamat mencuba!
Baca juga; cara jaga kucing betina selepas dimandulkan, khasiat biji ketumbar