Sesungguhnya kelebihan bulan Zulhijjah sering dilupakan. Selalunya bulan ini hanya diingati kerana ada Hari Raya Aidiladha dan sanak-saudara pergi menunaikan haji di Mekah. Semalam mengambil berkat menghantar bff, Sis Reen menunaikan haji bersama suaminya di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA. Seronok sungguh tengok riak wajahnya yang ceria tampil berpakaian serba putih. Dalam hati tak putus berdoa agar suatu hari nanti diberi peluang mendapat jemputan untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini. Inilah salah satu kelebihan bulan Zulhijjah.
Terjumpa video di YouTube ulasan tentang kelebihan bulan Zulhijjah oleh Penceramah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar. Dikongsikan ulasan penceramah lulusan Jurusan Syariah dan Bahasa Arab, Institut Fatah Islami, Damsyik, Syiria ini tentang kelebihan bulan Zulhijjah;
“1 hingga 10 Zulhijjah adalah hari terbaik dunia sehingga ia lebih istimewa daripada 10 hari terakhir Ramadan. 10 hari terawal Zulhijjah lebih istimewa daripada 10 terakhir Ramadan mengikut sebahagian ulama.
Maksudnya, hadis-hadis yang bercakap tentang kelebihan 1 hingga 10 Zulhijjah ini sangat banyak iaitu Rasulullah SAW dan para sahabat menggandakan dan memperbanyakkan amal ibadah dan kebaikan dalam 10 hari tersebut.
Baca juga: Kelebihan Bulan Syaaban 2023
Apakah amalan terbaik yang kita nak buat (untuk meraih kelebihan bulan Zulhijjah), saya ringkaskan;
Baca al-Quran Demi Raih Kelebihan Bulan Zulhijjah
Memperbanyakkan bacaan al-Quran. Sepanjang tahun kita baca al-Quran tapi 10 hari ini kita gandakan baca al-Quran.
Kalau baca sirah salafusoleh di kalangan mereka mengkhatamkan al-Quran pada 1 hingga 10 Zulhijjah.
Antara program yang mereka susun ialah rancang untuk khatam al-Quran. Siapa yang boleh buat masyaallah sangat hebat. Maksudnya ada 10 hari, satu hari 3 juzuk. Kalau tak boleh rasa berat, satu hari 1 muka surat. Cukup sudah.
Siapa yang tak pernah baca al-Quran, tak pernah sepanjang tahun baca al-Quran, mula 1 Zulhijjah bacalah sehari 1 muka surat. Paksa diri! Paksa diri kita untuk menjadi ahli syurga. Insyaallah Allah SWT akan datangkan rasa ikhlas itu.
Sedekah
Bersedekahlah setiap hari. Kalau bukan bulan puasa kita bersedekah sebulan sekali atau seminggu sekali. 1 hingga 10 Zulhijjah bersedekahlah setiap hari.
Saya duk scroll dalam Facebook, kutipan untuk membina masjid dan madrasah sangat banyak. Tuan-tuan cari sehari satu masjid atau madrasah bagi RM10 (sebagai contoh) sehari.
Kelebihan Sedekah Subuh
Niat nak dapat reda Allah SWT dan nak tiru sunah Nabi Muhammad SAW kerana Nabi SAW mengagungkan 1 hingga 10 Zulhijjah ini.
Ini kerana Allah SWT bersumpah dengan 10 hari ini. Majoriti ulama tafsir apabila mentafsirkan ayat pertama dan kedua surah Al Fajr, “dan malam-malam yang 10 Allah SWT bersumpah dengan 10 malam terawal bulan Zulhijjah,”.
Kata para ulama tafsir Allah SWT tidak akan bersumpah sesuatu perkara yang sangat hebat. Di kalangan makhluknya yang dicipta oleh Allah SWT sendiri.
Puasa
Kita berpuasa 1 hingga 9 Zulhijjah sebab 10 Zulhijjah adalah Hari Raya Aidiladha dan kita haram berpuasa.
Niat puasa “Sahaja aku puasa sunat Zulhijjah esok hari kerana Allah Taala,”.
Hari kelapan puasa sunat tarwiyah.
Niat puasa, “Sahaja aku puasa sunat tarwiyah esok hari kerana Allah Taala,”
Hari ke-9 puasa sunat arafah.
Niat puasa, “Sahaja aku puasa sunat arafah esok hari kerana Allah Taala,”.
7 Amalan Hebat Seawal Subuh Buka Pintu Rezeki
Zikir
Zikir yang paling afdal majoriti ulama pilih ialah “Subhanallah, Walhamdulillah, Wala Ilaha Illallah dan Wallahu Akbar”. Zikir ini diperbanyakkan 1 hingga 10 Zulhijjah ini, sehari 300 kali. Ini tak ada hadis tapi kalau nak tahu banyak berapa, sebahagian ulama sebut banyak itu ialah 300.
Qiamulail
Beribadah di malam hari atau Qiamulail, menghidupkan malam. Siapa yang susah untuk menghidupkan malam cukuplah dengan tidak meninggalkan solat witir 3 rakaat.
Pastikan 1 hingga 10 Zulhijjah ini amal ibadah kita berganda, insyaallah begitulah sunnah nabi Muhammad SAW kita dan para salahfusoleh 300 tahun yang pertama dahulu,” ulas Ustaz Wadi Annuar tentang kelebihan bulan Zulhijjah.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.An, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda;
“Bahawa Nabi SAW bersabda ketika haji wada’ dalam khutbahnya pada hari raya korban. “Ingatlah sesungguhnya semulia-mulia hari ialah hari kamu ini (arafah), ingatlah sesungguhnya semulia-mulia bulan ialah bulan kamu ini (Zulhijjah), ingatlah sesungguhnya semulia-mulia tempat ialah tempat kamu ini (Makkah),”.
(Riwayat Ibnu Majah : 3931)
Baca juga; Ketahui Cara Kiraan Faraid
Antara amalan lain yang boleh dilakukan;
- Perbanyakkan solat sunat.
- Berbuat baik kepada ibu bapa.
- Bertutur tentang perkara yang baik.
- Membantu orang susah.
Nota: Saya bukan ahli agama, jika terdapat sebarang kesalahan boleh tegur di ruang komen.
Baca juga; Cara masak kuah kacang mudah untuk Hari Raya Aidiladha; Ibadah Korban