Cara Pembahagian Daging Korban mula dibangkitkan kembali setiap kali tiba musim Hari Raya Aidiladha. Persoalan ini sering ditimbulkan kembali dan ramai yang masih lagi keliru. Bagi yang melakukan ibadat korban di masjid atau surau mungkin lebih mudah kerana urusan pembahagian atau agihan dilakukan oleh AJK masjid. Namun sebagai orang yang melakukan ibadat korban, kita mempunyai 5 pilihan yang boleh dipilih ke atas ibadat yang dilakukan tersebut. Apa yang penting ibadah kita sah dan diterima oleh Allah SWT.
Cara Pembahagian Daging Korban
Agihan atau cara pembahagian daging korban terbahagi kepada dua iaitu;
Korban Wajib
Korban wajib adalah ibadah yang diwajibkan kepada seseorang disebabkan janjinya kepada Allah SWT atau manusia untuk berbuat demikian seperti korban nazar. Maka cara pembahagian daging korban ialah wajib disedekahkan kesemuanya. Orang yang buat korban nazar dan ahli keluarganya haram makan daging korban tersebut.
Jika seorang daripada mereka telah termakan daging itu, maka pemilik daging korban berkenaan wajib mengganti kembali daging yang telah dimakannya sama ada dengan zat daging atau dengan nilainya.
Korban Sunat
Sementara korban sunat pula, dagingnya halal dimakan oleh pemilik dan ahli keluarganya. Maka orang yang melakukan ibadat korban mempunyai beberapa cara pembahagian daging korban dan pilihan mengikut keselesaannya;
Pilihan 1
Cara pembahagian daging korban yang pertama ialah disedekahkan kesemuanya tanpa mengambil walaupun sedikit.
Pilihan 2
Diambil sedikit untuk dimakan untuk dirinya dan ahli keluarganya sebagai mengambil keberkatan dan yang selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin. Ini adalah pilihan yang terbaik.
Pilihan 3
Orang yang buat korban, dia boleh membahagikan daging korban kepada tiga pembahagian.
- ⅓ diambil untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya.
- ⅓ lagi disedekahkan kepada fakir miskin.
- ⅓ yang terakhir dihadiahkan kepada orang kaya.
Pilihan 4
Daging korban itu diambil;
- ⅓ oleh orang yang buat korban.
- ⅔ disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin.
Pilihan 5
Orang yang buat korban tu kalau dia rasa ahli keluarga dia ramai ⅓ tak cukup;
- Dia boleh mengambil had yang maksimum ½ daripada daging korban.
- ½ lagi hendaklah wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
Orang yang buat korban kalau dia ambil lebih daripada ½ daging korban maka korbannya tidak sah.
Hukum Ibadat Korban
Hukum asal ibadat korban itu adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun, jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah ia satu dosa.
Daging Korban Buat Kenduri
Amalan korban dilakukan pada musim haji bagi meraih kelebihan bulan Zulhijjah. Daging korban siapa boleh makan dan bolehkah daging korban buat kenduri. Ada juga orang apabila mereka melakukan ibadat korban, mereka mengambil daging korban itu lalu dimasak kemudian dipanggil orang kampung dari kalangan fakir miskin tidak ketinggalan orang kaya untuk makan daging korban yang dimasak. Dalam bahasa yang mudah buat kenduri.
Boleh atau tidak boleh daging korban dimasak buat kenduri. Jawapannya; Harus dan boleh dengan syarat tidak semua daging korban itu dimasak.
Kalau semua daging korban itu dimasak sehingga tidak ada langsung lagi daging mentah yang ditinggalkan untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin. Maka korban itu tidak sah. Syarat kena ada sebahagian daging yang mentah. Mungkin dia ambil bahagian yang banyak sebab nak jemput orang makan.
Contoh:
Orang itu buat korban sebahagian bukan seekor. Dia dapat 15 kilogram daripada satu bahagian lembu korban itu. Dia masak lebih kurang 10 kilogram untuk buat kenduri. 5 kilogram lagi di sedekah daging mentah tersebut. Maka korban itu adalah sah.
Tetapi kalau dia dapat daging korban itu 15 kilogram sebahagian, dia masak semua 15 kilogram itu untuk buat kenduri. Orang miskin pun makan dan bila nak balik dia bagi lauk untuk bawa balik, maka korban itu tidak sah kerana tidak ada langsung daging mentah yang disedekahkan kepada fakir dan miskin.
Niat Korban
Korban adalah maka setiap ibadat apa sahaja jenis ibadat mesti disertakan dengan niat. Kalau tiada niat maka tidak sah ibadat itu termasuk ibadat korban. Dalam konteks ibabat korban bilakan seseorang itu hendak berniat melakukan ibadat korban.
Maka dalam konteks ibadat korban ini masa untuk berniat korban itu bergantung kepada beberapa keadaan.
Situasi 1
Seseorang itu boleh berniat korban semasa haiwan hendak disembelih. Dia sendiri yang menyembelih atau dia mewakilkan kepada seseorang untuk menyembelih. Ketika alat sembelihan sudah di leher haiwan korban itu teruskan orang itu berniat “Inilah korbanku kerana Allah Taala,”.
Situasi 2
Sebaik sahaja seseorang itu mewakilkan kepada tukang sembelih untuk menyembelih haiwan. Kalau dia telah mewakilkan kepada tukang sembelih untuk menyembelih haiwan seandainya haiwan itu ada dekat dengan dia sebelum disembelih dia sudah boleh berniat, “Inilah korbanku kerana Allah Taala,” atau “Aku jadikan lembu ini sebagai korban kerana Allah Taala,”.
Sebaik sahaja dia mewakilkan kepada tukang sembelih. Seandainya dia mewakilkan kepada tukang sembelih dan binatang korban tidak berada di sisinya (wakil daripada jarak jauh, telefon dan seumpamanya) haiwan itu berada dekat dengan tukang sembelih, maka sebaik sahaja dia melepaskan wakil sembelihan itu terus dia berniat “Aku jadikan lembu itu sebagai korban kerana Allah Taala,” (itu belum disembelih lagi).
Situasi 3
Seseorang itu boleh berniat untuk melakukan ibadat korban sebaik sahaja dia menta’yinkan haiwan itu sebagai korban. Ini jenis korban wajib atau bernazar haiwan yang ada di hadapannya hendak dilaksanakan sebagai korban. Sebaik sahaja dia manta’yinkan haiwan itu sebagai korban terus dia berniat “Aku jadikan lembu ini sebagai korban kerana Allah Taala,”.
Situasi 4
Seseorang itu boleh berniat melakukan ibadat korban walaupun lembu belum ada. Tetapi dia boleh berniat sebaik sahaja dia mawakilkan kepada seseorang untuk membeli lembu bagi dijadikan korban. Contohnya: Selepas dia kata kepada seseorang, saya wakilkan kepada tuan untuk membeli lembu untuk dijadikan korban. Tuan tadi kata, saya terima wakil, duit bagi semua siap-siap. Selepas dia mewakilkan terus dia berniat, “Aku jadikan lembu yang akan dibelikan itu sebagai korban kerana Allah Taala,”.
Ini beberapa niat korban yang boleh dijadikan panduan. Tetapi niat yang paling terbaik di saat lembu itu hendak disembelih. Tetapi bukan semua orang boleh berniat di waktu sebegitu. Sebab dalam keadaan yang ketiga, orang itu ada pilihan untuk berniat melakukan ibadat korban. Yang penting jangan lupa niat sebelum melakukan ibadat korban.
Sumber: Dato’ Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar DSDK, SDK, AMK, BCK. (Pendakwah terkenal di Utara Malaysia).
Baca juga; Doa Mustajab Depan Kaabah