Kelebihan Bulan Syaaban | Kedatangan bulan Syaaban sememangnya dinantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Ini bermakna hanya sebulan lagi menjelang bulan Ramadan. Syaaban merupakan salah satu bulan yang begitu istimewa kerana ia adalah bulan kebaikan dan penuh keberkatan. Kemuliaan bulan ini atau kelebihan bulan syaaban terletak pada malam ke-15 atau lebih popular digelar malan Nisfu Syaaban.
Tarikh permulaan 1 Syaaban 1445 bersamaan dengan 11 Februari 2024. Kelebihan bulan Syaaban sepatutnya diraih dengan sempurna oleh semua umat Islam. Terdapat banyak amalan sunat bulan Syaaban yang boleh dilakukan dan usah lepaskan peluang mendapat pahala di bulan penuh keberkatan ini.
Tarikh Masuk Bulan Syaaban & Nisfu Syaaban 1445H
Awal Syaaban (1 Syaaban) = 11 Februari 2024, Ahad
15 Syaaban (Nisfu Syaaban) = 25 Februari 2024, Ahad
Amalan Sunat & Kelebihan Bulan Syaaban
1. Solat Sunat
Malam 1 Syaaban – Solat sunat Mutlaq. Mendirikan solat sunat Mutlaq sebanyak 12 rakaat dengan 6 salam. Setiap rakaat, selepas membaca Surah Al-Fatihah, baca Surah Al-Ikhlas 5 kali. Semoga dengannya diampun dosa oleh Allah SWT.
Baca juga; Bantuan Mengurus Jenazah Pesara Kerajaan
2. Puasa
Memetik salah satu ceramah Penceramah Bebas Ustaz Wadi Anuar tentang kelebihan bulan Syaaban ini, “Nabi Muhammad SAW bila masuk 1 Rejab, sahabat boleh tengok perubahan ibadah yang Nabi Muhammad SAW buat dan kebaikan yang Nabi Muhammad SAW buat. Bila masuk Rejab Nabi Muhammad SAW tambah dan gandakan.
Kemudian bila masuk Syaaban Nabi Muhammad SAW tambah. Kalau saya dan kita semua malam ni Rejab kita tak tambah apa-apa ibadat tak tambah apa-apa kebaikan masuk Syaaban kita tak tambah apa-apa ibadat tak tambah apa-apa kebaikan ketahuilah bahawa hati kita khaslah, hati kita dan iman kita lalai.
Bila masuk Syaaban sahabat kata sepanjang kami hidup dengan Rasulullah paling banyak berpuasa sunat,” kata Ustaz Wadi Anuar.
Selain itu terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Bahkan ada juga yang menceritakan bahawa Baginda SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, yang bermaksud:
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Syaaban.”
Selain itu terdapat riwayat daripada Usamah bin Zaid, beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai Rasulullah! Aku belum pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan daripada bulan-bulan yang lain, seperti mana engkau berpuasa dalam bulan Syaaban? Baginda menjawab: ‘Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai, ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Maka aku suka amalanku diangkat, ketika itu aku sedang berpuasa.’” (sumber: Berpuasa pada Bulan Syaaban – maktabahalbakri.com)
Niat Puasa Sunat Syaaban
“Sahaja aku berpuasa sunat Syaaban esok hari kerana Allah Taala,”
3. Perbanyakkan Membaca Al-Quran & Berzikir
Banyakkan solat-solat sunat; Rawatib dan Nawafil, membaca Al-Quran, berzikir, bertasbih, berselawat, beristigfar untuk diri sendiri, keluarga dan seluruh umat Nabi Muhammad SAW.
Ganjaran Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW
4. Amalan Malam Nisfu Syaaban
Bulan Syaaban juga mempunyai satu masa yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Namun adalah diharapkan supaya tidak ada orang yang menganggapkan bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya sehingga terdapat sebahagian daripada masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana bimbang terlepas habuannya. Kepercayaan seperti ini adalah dibimbangi akan menjejaskan akidahnya sebagai seorang muslim.
Walau bagaimanapun tidak dapat dinafikan bahawa pada malam tersebut adalah digalakkan kepada umat Islam untuk memperbanyakkan ibadat seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, zikir, berdoa dan Qiamullail sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis. (Yasalunaka fi ad-Din wa al-Hayat: Jld 4 ms 347).
Terdapat hadis yang sahih jelas menunjukkan kelebihan malam Nisfu Syaaban ini iaitu: Daripada Abu Musa al-Asya’ri r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menilik (hamba-hambaNya) pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hambaNya melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik.” (H.R Ibnu Majah).
Semestinya pengampunan Allah SWT tersebut berasaskan amalan-amalan soleh yang dilakukan oleh hamba-hambaNya. Galakan serta amalan-amalan tersebut seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
“Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari”. (H.R Ibnu Majah) (Kanzul Ulum al-Jami’ lilahkami al-Syari’yyah fi al-Fiqhi al-Syafie: ms 215). (sumber: mufti.terengganu.gov.my)
Baca juga; Cara Memotong Kuku Menurut Islam
Niat Puasa Sunat Nisfu Syaaban
“Sahaja aku berpuasa sunat Nisfu Syaaban esok hari kerana Allah Taala,”.
Tiada amalan khusus berpuasa di hari nifsu Syaaban. Namun, kita digalakkan untuk berpuasa hari putih iaitu pada 13, 14 dan 15 Syaaban.
Nisfu Syaaban 2023 jatuh pada 25 Februari 2024, Ahad. Jadi boleh berpuasa (puasa putih) pada 23 Februari (Jumaat), 24 Februari (Sabtu) dan 25 Februari (Ahad).
Baca juga; Kelebihan Bulan Zulhijjah