Pengurusan Jenazah Wanita | Sesungguhnya kematian itu pasti. Cuma tidak ada seorang pun makhluk di muka bumi ini yang tahu detik akhir dalam kehidupan mereka.
Sebenarnya apabila seorang demi seorang ahli keluarga meninggalkan kita, sedikit sebanyak hati mula terjentik untuk menyediakan saham akhirat.
Jika dihitung, sememangnya tidak cukup bekalan yang bakal dipersembahkan namun sebagai hambaNya, kita wajib berusaha. Pepatah better late than never perlu dihadam.
Bila melihat peluang menyertai kursus pengurusan jenazah wanita di surau berdekatan rumah, terus grab tanpa fikir panjang.
Bengkel pengurusan jenazah wanita teori dan praktikal telah berlangsung di Surau Al-Mahdi yang dikendalikan oleh Pemegang Tauliah JAIS Pengurusan Jenazah, Puan Norrita Hassan.
Puan Norrita Hassan juga menerima jemputan bagi mereka yang berminat untuk mendalami ilmu pengurusan jenazah ini. Bolehlah hubungi beliau, ya.
Boleh juga fikirkan buah tangan melawat orang meninggal dunia di rumah.
Hukum Pengurusan Jenazah
Tugas menguruskan jenazah hukumnya ialah fardu kifayah. Wanita yang belajar pengurusan jenazah wanita adalah Fardhu Ain.
Kepentingan Pengurusan Jenazah
Ahli keluarga kena belajar dan tahu untuk menguruskan jenazah;
- Kematian di waktu malam.
- Membantu orang
Cara Penguruskan Jenazah Yang Baru Meninggal
Jika kematian berlaku di hospital segala urusan kematian dilakukan oleh pihak hospital. Tetapi jika berlaku kematian di rumah, ahli keluarga kena tahu bagaimana untuk menguruskan jenazah tersebut.
Jenazah sepatutnya kena urus segera dalam 45 minit ketika tubuh masih panas.
Tubuh Jenazah
- Tengok keadaan kepala dulu. Bersihkan cecair yang keluar dari hidung, telinga dan mata.
- Biasanya mata akan terbuka – guna minyak (seperti minyak zaitun, minyak bayi atau minyak masak yang belum terpakai) letak di jari selawat dan urut kelopak mata agar tertutup. Buat yang termampu.
- Bagi hidung pula, ambil kapas dan sumbat. Begitu juga mulut. Kalau ada gigi palsu cuba buka. Kalau tak boleh tak mengapa.
- Kalau mulut terbuka, ambil kain atau tudung lama, ikat kepala untuk tutup mulut (sekiranya perlu).
- Buang benda yang menghalang kulitnya daripada terkena air. Contoh; gam dari plaster.
- Kemudian baru tengok anggota tubuh yang lain. Lembutkan anggota (sendi) jenazah dengan mengurut menggunakan minyak di pergelangan kaki, siku, pelipat dan bahu sambil membaca selawat.
- Urus bahagian dada dan perut. Qiamkan, tangan kanan di atas tangan kiri. Kalau tak boleh qiam, kita urut anggota badan. Kalau tak boleh baru kita ikat.
- Letakkan sesuatu (seperti buku tetapi bukan Al-Quran) di atas perut.
- Uruskan bahagian kaki. Ikat lutut dan ibu jari kakinya dengan perca kain. Kalau perlu diikat, kalau tak perlu tak payah. Sebab sakit sebenarnya.
- Bersihkan qubul dan dubur.
Pakaian Jenazah
- Kemudian baru tengok baju. Kalau ada najis atau darah, kita bukak. Tapi jangan paksa. Kalau tak boleh buka kita gunting baju tu.
- Kalau tak pakai apa-apa pun tak apa sebab kita tutup dengan kain.
- Buka pakaiannya dan tukar dengan jubah panjang yang bersih. Tutup jenazah dengan kain (batik lepas). Seelok-eloknya jangan guna kain putih.
- Tutup dari paras leher sampai ke kaki dan pakaikan tudung. Muka ditutup dengan kain yang jarang seperti tudung bawal.
- Kemudian tutup kepala jenazah. Aurat kena jaga.
Tempat Jenazah
- Letakkan jenazah mengadap kiblat. Letakkan kedudukan jenazah sedikit tinggi seperti katil atau tilam. Kepala mestilah tinggi daripada kaki.
- Kemudian ambil ukuran jenazah bagi penyediaan kain kafan. Dari hujung kaki sampai hujung kepala dan hendaklah dilebihkan sebanyak 3 kaki. Ada juga terdapat kain kafan yang sudah tersedia dan biasanya satu set mengandungi 2.5 meter kain (standard).
Pengurusan Jenazah Dalam Islam
Cara memandikan jenazah perempuan dan cara kafan jenazah wanita mempunyai kaedah tertentu dalam pengurusan jenazah wanita dalam Islam.
Penting untuk mengetahuinya dan yang paling afdal untuk melakukannya adalah ahli keluarga sendiri.
Jika tidak yakin boleh membantu mereka yang bertauliah dan menghormati hasil kerja mereka. Bukan mudah sebenarnya untuk pengurusan jenazah wanita ini.
Cara Memandikan Jenazah Perempuan
Dalam menguruskan jenazah ilmu sangat penting untuk melakukannya.
Ciri-ciri Tukang Mandi Jenazah
- Berilmu
- Seorang berani
- Bersifat amanah dan sabar
- Berkebolehan menguruskan jenazah
- Tidak fanatik dengan puak tertentu
- Melazimkan diri dengan amalan hati secara istiqamah seperti wirid tertentu.
- Kaya dengan sifat mahmudah dan miskin dengan sifat mazmumah.
- Beradab dengan jenazah dan menyegerakan pengurusan jenazah.
- Tidak menjadikan pengurusan jenazah sebagai sebuah perniagaan
- Tidak mengenakan apa-apa syarat kepada keluarga si mati.
Peralatan Mandi Jenazah
- Apron Plastik
- Sarung Tangan Getah
- Sabun
- Putik Kapas (Cotton Bud)
- Topeng Muka (Face Mask)
- Kapur Barus
- Serbuk Cendana
- Tuala Mandi (3 Helai)
- Kain Batik Lepas (3 Helai)
Memandikan Jenazah
- Sediakan air mutlak, dari sumber air paip yang mengalir
- Sediakan air sabun
- Sediakan air kapur barus
- Sediakan air serbuk cendana
- Angkat jenazah ke tempat mandi
- Tinggikan sedikit bahagian kepala
- Sentiasa ditutup atau diselimut
- Elat auratnya terdedah (jaga aurat)
- Bacakan niat – “Sahaja Aku Mandi Bagi Mayat Ini Wajib Kerana Allah Taala,”.
- Sunat siramkan air dari bahagian kanan jenazah terlebih dahulu.
- Bersihkan seluruh tubuh jenazah.
- Siram air sabun ke seluruh badan
- Cuci di celah-celah anggota badan
- Cuci di bahagian anggota sendi.
- Bersihkan di celah-celah jari, hidung, mulut guna jari. Tanggalkan gigi palsu. Kalau tak boleh tak perlu. Tak boleh potong kuku.
- Cuci rambut. Rambut sekiranya gugur, kutip.
- Bersihkan qubul dan dubur.
- Mengiringkan jenazah dan urut perut bahagian kanan.
- Bersihkan dubur dan keluarkan najis dan cuci
- Bilas dengan air bersih keseluruhan jenazah.
- Mengambil wuduk buat jenazah. Niat “Sahaja Aku Mengambil Wuduk Bagi Mayat Ini Kerana Allah Taala,”.
- Mandikan jenazah dengan air ganjil dari air kapur barus dan serbuk cendana yang telah disediakan.
- Lap tubuh jenazah dengan tuala.
Jenazah perlu di tayammun selepas mandi jenazah apabila;
*Bertattoo
*Lelaki yang tidak berkhatan
*Rambut yang diwarnakan
Cara Kafan Jenazah Wanita
Penyediaan Kain Kafan Jenazah Wanita
- Memotong
- Menyusun kain kafan
Perlukan 15 meter Panjang dan 60 inci lebar
5 helai tali untuk mengikat kain kafan tersebut.
Sehelai tudung
Sehelai baju
Sehelai kain sarung
2 helai kain kafan
Keseluruhan jumlah 5 helai. Sunat jumlah yang ganjil untuk jenazah wanita.
Jenazah wanita perlu ukuran 15 meter bidang 60. Lelaki 13 meter.
Petua; Ukur kain 1 depa + 1 depa ½
- Potong dulu kain kapan untuk buat tali. 5 tali. Potong bahagian hujung ukuran lebar 2 jari. Panjang 3 pendek 2.
- Potong 2.5 meter x 2 (kain kafan)
- Jubah – ukuran 1 depa lebih sedikit. Lipat 2. Lipat 4 potong lurus untuk bahagian leher. 1 jengkal.
- Tudung – potong sejengkal ½. Guna serkup kepala warna putih.
- Kain kemban – ukuran dada sampai ke lutut
Kapas
- Gunting kapas untuk diletakkan di belakang badan jenazah. Tabur serbuk cendana (tujuan untuk mewangikan jenazah).
- Diletakkan bila bentang kain kapan.
Daun bidara untuk awetkan jenazah.
Mengkafankan Jenazah
Bentang tali ikut kedudukan tubuh jenazah;
- Kepala
- Dada
- Perut
- Lutut
- Kaki
Jumlah 5
- Letak tali di atas lantai (agak-agak ukuran untuk kepala, dada, perut, lutut dan kaki)
- Bentangkan kain kafan di atas tali
- Bentangkan kain tudung
- Bentangkan kain baju di atas tudung
- Bentangkan kain sarung di bahagian bawah baju
- Dilapiskan dengan kapas yang telah ditabur dengan serbuk cendana.
Letakkan jenazah dalam keadaan terlentang di atas kain kafan
- Kedua tangan diqiamkan
- Hendaklah dibalut keseluruhan jenazah dengan kapas yang telah ditabur dengan serbuk cendana.
- Pakaikan baju diikuti dengan tudung dan kemudian kain.
Sunat dimulakan mengkafankan jenazah dari sebelah kiri dan kain sebelah kanan ditindih ke sebelah kiri.
- Lakukan hingga ke lapisan terakhir
- Lakukan dengan kemas
- Akhir sekali, diikat dengan ikatan
- Di hujung kepala
- Hujung kaki
- Di lutut
- Di perut
- Di dada
- Di hujung kaki dan kepala hendaklah dikemaskan.
Setelah selelsai jenazah boleh dilakukan Solat Jenazah sebelum dihantar ke persemadian abadi.
azni
bagus ilmu ni, aku hari tu anak jiran sebelah meninggal mmg blur jugak nak buat apa.. tapi mujur ramai makcik2 area rumah ada ..
tapi esok esok aku lah pengganti makcik tu hahah
nettyahhiyer
Saya membaca tip kak maizan satu persatu dengan penuh sebak. Terkenang menguruskan jenazah arwah mak mentua yang ‘pergi’ dekat rumah saya. Alhamdulillah, dapat uruskan pemergiannya dengan tenang dan baik. Al Fatihah untuk arwah mak mentua saya.