ayam masak butter | MJ jarang beli ayam yang dah siap potong. Biasanya beli 1 ekor ayam kemudian baru minta tolong orang kedai potong 12 atau 16. Anak-anak dan suami memang tak suka makan bahagian isi ayam. Dorang suka makan bahagian paha (drumstick), thigh dan kepak (wing). Jadi, tak kan nak buang bahagian isi tu kan. Biasanya masa membersihkan ayam MJ akan asingkan bahagian isi ni. Kemudian potong kecil-kecil, anak-anak panggil potong nugget. Isi ayam dipotong kecil ni baru dorang boleh makan. Antara menu favorite anak-anak dan suami menggunakan isi ayam ni ialah Ayam Masak Butter atau Creamy Butter Chicken.
Ada banyak resepi yang kita boleh cuba antaranya Ayam Masak Butter Azie Kitchen, Ayam Masak Butter Che Nom, Resepi Ayam Buttermilk Khairul Aming. MJ masak ikut cara sendiri jer sebab kena dengan ‘tekak’ keluarga tercinta.
Resepi Ayam Masak Butter Simple
Bahan-bahan
- 4 ketul isi ayam (bahagian isi)
- Tepung goreng ayam untuk salutan ayam
- 1 biji telur
- ½ blok mentega
- ½ biji bawang holland
- 6 biji bawang putih
- 4 biji cili api merah dan hijau (ikut kepedasan)
- 2 tangkai daun kari
- ½ susu sejat
- 2 keping keju cheddar *optional
Cara Membuat
- Bersihkan isi ayam dan potong kecil mengikut selera masing-masing. Tapi kalau kecil sangat pun tak sedap juga. Sederhana besar jer.
- Panaskan minyak dalam kuali mengunakan minyak yang banyak (deep fry).
- Dalam pada itu, pecahkan telur dan kacau sebati. Celup kepingan ayam ke dalam telur tadi kemudian salut dengan tepung goreng ayam.
- Goreng kepingan ayam sampai kuning keemasan. Angkat dan toskan.
- Cencang halus bawang holland dan bawang putih. Kemudian hiris cili.
- Tuang sikit jer minyak ke dalam kuali dan tumis bawang sehingga naik bau.
- Bila dah naik bau masuk daun kari dan cili padi.
- Kemudian tuang susu sejat.
- Gaul sebentar lepas tu masuk cheese pula. Gaul sampai cheese sebati.
- Tuang ayam yang telah digoreng tadi dan kacau.
- Kemudian masuk butter (mentega). Boleh masuk selepas tuang ayam atau selepas masuk cheese tadi.
- Untuk masakan ni saya tak letak garam. Kalau nak rasa sedikit masin boleh letak garam ya.
- Dah siap dan boleh dihidangkan.
Tip Buat Ayam Masak Butter Simple
Tepung Goreng Ayam
Boleh guna apa saja jenama tepung goreng ayam yang ada di pasaran. Pedas atau biasa terpulang kepada selera masing-masing. Boleh juga adun tepung goreng ayam sendiri. Buat sekali banyak dan simpan dalam bekas kedap udara. Nak guna buat ayam goreng, cedok jer.
Resepi Tepung Ayam Goreng
Bahan-bahan
- 1 kilogram tepung gandum
- 1 ½ cawan tepung jagung
- 1 ½ cawan tepung beras
- ½ sudu besar baking powder
- 2 sudu besar serbuk kunyit
- 2 sudu besar serbuk cili (kepedasan ikut suka)
- 2 sudu besar serbuk pati ayam
- Garam dan gula (secukup rasa)
Cara Membuat
- Di dalam bekas yang besar satukan semua bahan salutan tepung ayam goreng.
- Gaul sehingga sebati.
Cara Goreng Ayam
Ada beberapa cara goreng ayam yang boleh dilakukan untuk buat ayam masak butter. Selain deep fry boleh guna masak ayam goreng ke dalam air fryer.
Mentega atau Butter
Dah namanya pun ayam masak butter sudah tentu guna butter atau mentega. Tapi tak salah pun kalau ayam masak butter guna marjerin. Cuma, rasanya mentega dan marjerin ni memang berbeza. Kalau nak rasa kedua-duanya, cuba masak sendiri. Baru kita boleh tahu kat kedai tu guna mentega atau marjerin.
Lagi satu tip dari Chef Sabri Hassan letak butter bila dah hujung-hujung memasak. Butter ni kalau masuk awal-awal nanti kuah akan split dan berketul. Memang betul, rasa dan rupa ayam masak butter memang lain kalau masuk kemudian.
Ayam Masak Butter Tanpa Susu Cair
Kalau tak suka susu cair boleh gantikan dengan bahan-bahan yang bersesuaian. Kita masak sendiri, kita ikutlah selera sendiri. Tak semua orang suka susu cair, kan.
Kalau nak ayam masak butter berkuah atau ayam masak butter kering memang bergantung pada bahan ini. Kalau nak berkuah lebihkan bahan ini dan kalau nak versi kering kurangkan bahan ini.
Bahan yang boleh menggantikan susu cair ialah seperti;
- Cooking cream
- Susu penuh krim (full cream milk)
- Susu tepung (dibancuh)
- Santan
Cili Padi
Kalau masak untuk kanak-kanak dan orang tua yang tak tahan pedas, boleh asingkan cili padi. Tapi, kalau boleh tahan pedas boleh lah letak cili padi ni.
Cili padi ni salah satu bahan yang boleh kurangkan rasa muak. Kalau nak nampak cantik letak cili padi merah. baru ada variasi warna dalam masakan.
Baca juga; jenis cili padi
Bahan Tambahan
Ada juga yang gelar masakan ini ayam masak buttermilk. Tapi setahu MJ, buttermilk ni susu masam. Tak tahu lah.
Bahan tambahan atau bahan penyedap yang boleh di masukkan dalam masakan adalah seperti keju atau cheese, ayam masak butter kicap dan ayam masak buttermilk telur masin. Telur masin boleh guna telur masin yang dilenyek atau beli serbuk telur masin di kedai bakeri.
Baca juga; resepi masakan ayam, bangi wonderland