Ramai yang tidak sedar tentang wang tidak patuh syariah dan kepentingannya dalam kehidupan umat Islam. Atas kesedaran ini Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah melancarkan Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS untuk mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak. Kempen itu telah dijadualkan bermula 15 November sehingga 13 Disember 2023 bertujuan untuk mengajak orang ramai untuk membersihkan harta yang diperolehi agar kehidupan yang dilalui penuh dengan keberkatan.
Apakah Itu Wang Tidak Patuh Syariah
Harta atau wang tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT.
Wang Tidak Patuh Syariah merupakan wang atau harta tidak patuh syariah yang diperoleh daripada sumber yang haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009
Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
- Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
- Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
- Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal”.

Kempen Kesedaran Wang Tidak Patuh Syariah
Majlis yang berlangsung di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ustaz Indera Shahril Bin Mohd Shahid selaku Pengarah Baitulmal MAIS. Menurut Ustaz Indera, kempen ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran akan peri pentingnya wang patuh syariah.
Tambahnya lagi hanya 20 peratus sahaja pencarum wang KWSP yang beragama Islam di Selangor yang telah menukar wang simpanan KWSP dari konvensional kepada patuh syariah. Ternyata bilangan ini masih lagi sedikit dan sangat penting mendidik masyarakat tentang kepentingan mensucikan harta kepada patuh syariah.
Pelancaran Kempen Kesedaran Wang Tidak Patuh Syariah telah disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS sekaligus melancarkan Majlis Perasmian Seminar Harta Halal Harta Berkat.
Menerusi ucapan YAD Tan Sri Dato’ Seri Abd Aziz, bagi tahun 2022, MAIS telah menerima kutipan Wang Tidak Patuh Syariah sebanyak RM1.8 juta daripada kira-kira 2,000 orang berbanding tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2021 adalah sebanyak RM1.5 juta.
Menerusi kempen kesedaran ini, MAIS mensasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta terimaan Wang Tidak Patuh Syariah daripada orang ramai.

Usai perasmian majlis diteruskan dengan Seminar Harta Halal Harta Berkat oleh Dr. Abdul Rahman Bin A.Shukor, Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam dengan tajuk: Keberkatan Harta Dalam Kehidupan dan Dr. Zaharuddin Bin Abdul Rahman, Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam dengan tajuk: Instrumen Perniagaan Patuh Syariah.

Bagaimana Mahu Bayar Wang Tidak Patuh Syariah
Bagi masyarakat yang ingin melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah bolehlah dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah Selangor atau melalui sistem bayaran online di laman web MAIS iaitu www.mais.gov.my.
MAIS juga telah melantik pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang merupakan ejen kutipan Wang Tidak Patuh Syariah semenjak tahun 2020 dan masyarakat boleh membuat bayaran di semua premis kaunter LZS atau melalui e-zakat pay di laman web LZS.

Peranan MAIS
Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.
Hasil daripada terimaan wang tidak patuh syariah ini digunakan untuk maslahah umum seperti bantuan pendidikan, perubatan dan pembinaan infrastruktur.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kempen ini bolehlah mengikuti perkembangan di media social MAIS iaitu Facebook majlis agama islam Selangor.
Semoga seluruh umat islam dapat menyucikan harta melalui pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal MAIS dan mudah-mudahan diberkati oleh Allah SWT. MAIS berharap agar masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan setiap aktiviti atau perniagaan yang diceburi adalah bertepatan dengan hukum syarak.
Baca juga; MAIS Anjur Ziarah Merdeka, Kesedaran Terhadap Faraid, Bayar Fidyah Online Selangor