Penipuan Dalam Talian | Saban hari ada sahaja kisah tentang mangsa scam yang kita dengar atau baca sama ada media massa atau media sosial.
MJ sendiri hari ini terima dua panggilan yang tidak dikenali. Mujur juga ada muat turun aplikasi Trucaller di telefon bimbit. Terang-terang terpapar nama si pemanggil yang berada dalam talian.
Kadang-kadang lucu juga nama yang tertera di skrin telefon. Siapalah agaknya yang merekodkan nama pemanggil sebegitu.
Aplikasi ini adalah salah satu cara untuk kita melindungi diri dan elak cara scammer ambil duit dalam bank tanpa kita sedar.
Berhati-hati semua daripada penipuan dalam talian oleh scammer ni.

Statistik Penipuan Dalam Talian
Scammer yang melakukan penipuan dalam talian ini sentiasa mempunyai cara untuk memperdaya mangsa. Kadang-kadang dalam berhati-hati terkena juga.
Menurut laporan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, KPDNHEP menerima 15,957 aduan daripada pengguna bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2022.
Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian mencatat aduan tertinggi dengan 4,760 kes. Selebihnya melibatkan harga mengelirukan (4,187 kes) dan perkhidmatan mengelirukan (3,289 kes).
Daripada keseluruhan aduan, tiga negeri yang menerima aduan tertinggi ialah Selangor dengan 4,611 aduan, Kuala Lumpur (3,601 aduan) dan Johor (1,272 aduan).
Semoga semua yang membaca artikel ini dijauhkan daripada tipu daya scammer ini.

Langkah Kawalan Tambahan
Sebagai pengguna kepada institusi kewangan mungkin boleh menarik nafas lega sedikit apabila baru-baru ini Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus telah mengumumkan lima (5) langkah kawalan tambahan.
Lima langkah kawalan tambahan ini dilaksanakan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan dalam talian kepada semua institusi kewangan.
Langkah Pertama
Institusi kewangan perlu beralih daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja [One Time Password (OTP)] melalui sistem pesanan ringkas (atau SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.
Peralihan ini melibatkan transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akuan (account setting).
Dikatakan institusi kewangan utama telah beralih kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.
Langkah Kedua
Bank-bank akan mengetatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan scam.
Pelanggan akan dimaklumkan serta merta apabila sebarang aktiviti seperti ini dikesan pada akaun perbankan mereka.
Sebagai langkah tambahan, institusi kewangan juga akan meyekat transaksi tersebut dan pelanggan akan diminta memberikan pengesahan sebelum transaksi boleh diteruskan.
Langkah Ketiga
Tempoh bertenang (Cooling-off period) untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat (secure device) akan dilaksanakan. Semasa tempoh ini, sebarang aktiviti perbankan dalam talian tidak akan dibenarkan.
Langkah Keempat
Pelanggan akan dihadkan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat (secure device) untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian.
Langkah Kelima
Bagi membantu mangsa scam kesemua bank dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan di samping meningkatkan tahap respon dan maklum balas ke atas laporan penipuan kewangan yang dibuat oleh pelanggan.

Tambah Bank Negara lagi institusi kewangan juga dikehendaki untuk menyelaraskan langkah-langkah pemulihan dana dan kawalan termasuk berkerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kerugian kewangan mangsa scam selanjutnya tidak berlaku.
Selain itu, institusi kewangan juga dikehendaki menyediakan cara yang mudah untuk pelanggan mereka menggantung (suspend) akaun bank mereka sekiranya akaun tersebut disyaki terlibat dengan scam dan kemudiannya mengaktifkan semula akaun tersebut dalam tempoh masa yang munasabah selepas pengesahan dibuat.
Perlindungan Pengguna
Sebagai pengguna, kita bertanggungjawab untuk melindungi diri daripada ancaman scam. Paling penting sebagai pemilik akaun kita perlu:
- Melindungi maklumat peribadi dan perbankan.
- Tidak mendedahkan maklumat tersebut kepada sesiapa atau di laman web yang mencurigakan.
- Jika terdapat apa-apa transaksi meragukan yang melibatkan akaun bank anda, ikuti langkah-langkah berikut:
- Buang aplikasi yang disyaki merupakan aplikasi hasad.
- Tukar kata laluan akaun bank.
- Laporkan sebarang transaksi yang mencurigakan kepada bank dan buat laporan polis bagi membantu siasatan.
(Sumber: Twitter Bank Negara Malaysia).