Apa Perlu Buat Jika Kena Tipu Scammer | Sejak akhir-akhir ini ada pelbagai modes operandi yang digunakan oleh scammer untuk menipu mangsa.
Kadang-kadang dalam keadaan kita berjaga-jaga, ada juga yang terkena. Scammer ni bukan calang-calang organisasi. Mereka mampu meramal perwatakan mangsa atau mungkin boleh membaca karakter manusia sehingga ramai yang terpedaya.
Apa Perlu Buat Jika Kena Tipu Scammer
Jika sudah terkena dan menjadi mangsa jenayah siber atau mangsa scammer, hubungi 3 pusat ini dengan kadar yang segera.
- Syarikat perbankan (Bank) yang terlibat – 24 jam beroperasi
- The National Scam Response Centre (NSRC) – 8.00 pagi hingga 8.00 malam beroperasi
- Polis Diraja Malaysia – 24 jam
Cara Buat Aduan Kalau Kena Scammer
Langkah Pertama
Perkara yang paling pertama sekali yang perlu dibuat ialah hubungi pihak bank yang terlibat dalam tempoh 24 jam. Laporkan kepada pegawai terbabit apa yang berlaku.
Sekiranya peristiwa berlaku lebih daripada 24 jam, kita wajib juga melaporkan kepada pihak bank.
Nombor talian khidmat pelanggan bank biasanya kita boleh dapat dengan melihat di belakang kad debit. Nombor hotline bank juga boleh didapati di laman sesawang syarikat perbankan.
Nombor Untuk Dihubungi;
Sebagai contoh, nombor talian khidmat pelanggan Maybank ialah 1-300-88-6688 (sekiranya berada dalam Malaysia) dan 603- 7844 3696 (sekiranya berada di luar negara).
Langkah Kedua
Kemudian boleh hubungi The National Scam Response Centre (NSRC). NSRC adalah pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
NSRC jalinan kerjasama antara National Anti-Financial Crime Centre (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Malaysian Communications and Multimedia Commission – MCMC), institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.
NSRC mengendalikan kes penipuan kewangan dalam talian.
Tumpuan NSRC adalah pada penipuan kewangan dalam talian;
- Kes apabila mangsa menyedari bahawa wang dalam akaun bank mereka telah dipindahkan tanpa pengetahuan.
- Kes di mana mangsa telah diperdaya untuk memindahkan wang mereka melalui perkhidmatan kewangan dalam talian.
Apakah yang diperlukan untuk membuat laporan tentang penipuan kewangan dalam talian.
- Penerangan ringkas tentang insiden penipuan (contohnya kronologi peristiwa)
- Butiran peribadi anda (nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank)
- Butiran penjenayah (nama, nombor telefon)
- Butiran transaksi (nombor akaun-akaun bank yang terlibat, jumlah serta masa transaksi dibuat)
Nombor Untuk Dihubungi;
Dail nombor 997
Langkah Ketiga
Seterusnya kita perlu pergi ke balai polis berdekatan untuk melaporkan jenayah siber yang dialami secepat mungkin.
Walaupun kita telah melaporkan jenayah siber ini kepada NSRC, laporan polis perlu juga dilaporkan.
Semasa membuat laporan polis kita perlu menyediakan;
- Alamat laman sesawang (URL) yang dikongsi oleh scammer
- Komunikasi bersama scammer (panggilan telefon, email, bicara bersama scammer di SMS / WhatsApp / Telegram / WeChat / platform e-dagang / lain-lain platform)
Baca juga; Cara Scammer Ambil Duit
Mangsa Scammer
Di antara penipuan kewangan dalam talian ini adalah memancing data (phishing), Macau scam, serangan perisian hasad (malware), penipuan penghantaran barangan atau bungkusan (parcel scam) dan love scam.
Phishing Melalui Aplikasi Telefon Bimbit
Berhati-hati dengan modus operandi aktiviti ini. Ingat!
- Jangan klik pautan (link) yang diterima dari pihak tidak dikenali.
- Jangan muat turun dan install aplikasi telefon bimbit dari sumber tidak sah.
- Semak dengan teliti kebenaran akses untuk aplikasi tersebut.
- Pastikan frasa keselamatan atau gambar muncul dan betul setelah ID pengguna dimasukkan ketika menggunakan perbankan internet.
- Muat turun aplikasi MASSA dari CyberSecurity Malaysia (Android) untuk mengesan Malware dalam telefon bimbit.
Macau Scam
Ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan Macau Scam ini. Jangan layan panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali.
Putuskan panggilan dan rujuk kepada agensi/jabatan berkenaan untuk pengesahan. Contohnya, jika anda dikatakan mempunyai.
- Tunggakan cukai – Rujuk LHDN
- Tunggakan bil TM/TNB – Rujuk TM dan TNB
- Tunggakan hutang bank – Rujuk bank berkenaan.
- Waran tangkap – Rujuk balai polis berhampiran anda
Ingat! Panggilan telefon tidak boleh disambungkan ke lain-lain agensi dan laporan polis tidak boleh dibuat melalui panggilan telefon.
- Jangan pindahkan wang anda ke akaun yang tidak dikenali.
- Jangan buka akaun bank baru dan menyerahkan maklumat perbankan jika diminta oleh pihak tidak dikenali.
Terdapat juga penipuan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan. Selidik terlebih dahulu lebih-lebih lagi jika menawarkan gaji yang tinggi.
Baca juga; Penipuan Dalam Talian
Rujuk link ini untuk maklumat lebih lanjut.
Sumber: Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police