Pengurusan harta melalui hibah | Sebagai umat Islam kita kena cakna tentang pengurusan harta sama ada untuk diri sendiri mahupun ahli keluarga. Lebih-lebih lagi apabila kita menjadi salah seorang waris untuk mentadbirkan dan menguruskan harta mereka yang telah meninggal dunia. Bukan boleh buat sambil lewa kerana terhadap hokum yang perlu dipatuhi dan diikuti. Jika dahulu isu pengurusan harta sebelum seseorang meninggal dunia agak taboo. Namun kerana pendedahan yang telus dan pendidikan kewangan yang baik isu pengurusan harta ini semakin diterima. Justeru, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Bulan Hibah Negeri Selangor 2024 sepanjang bulan Muharram 1446H.
Pengurusan Harta Melalui Hibah
Ketidakfahaman masyarakat mengenai instrumen hibah seringkali timbul terutamanya apabila berlaku kematian pihak pemberi hibah justeru hibah yang dibuat semasa hidup perlu dilakukan secara jelas dan menepati hukum syarak.
Pengurusan harta melalui hibah sangat penting bagi mengelakkan perpecahan dalam keluarga.
Definisi Hibah
Hibah ialah akad pemberian pindah milik sesuatu benda atau harta oleh seseorang kepada pihak lain secara sukarela pada masa hidupnya tanpa balasan.
Fatwa Hibah Selangor 2021
Hibah adalah pemberian harta secara sukarela yang berkuatkuasa semasa hidup.
Secara tradisinya hibah berfungsi sebagai cara untuk mengagihkan harta kekayaan dengan tujuan untuk menyemai perasaan cinta dan sayang dalam kalangan orang Islam terutama kaum kerabat di samping membantu mereka yang memerlukan.
Bulan Hibah Negeri Selangor
Kecenderungan masyarakat Islam dalam perancangan harta menggunakan instrumen hibah semakin meningkat. Oleh itu, menyedari tentang kepentingan menguruskan harta bagi umat Islam khususnya negeri Selangor, MAIS telah melancarkan Bulan Hibah Negeri Selangor 2024 sepanjang bulan Muharram 1446H.
Majlis telah dilancarkan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof selaku Pengerusi MAIS.
MAIS telah melancarkan Bulan Hibah Negeri Selangor sepanjang bulan Muharram 1446H bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan informasi hibah dan manfaat mendaftarkan hibah.
Pelbagai program diatur sepanjang kempen berlangsung antaranya ialah hebahan informasi berkenaan hibah, Seminar Hibah, Forum Perdana Hibah, Hari Bersama Baitulmal, Tik Tok Live Hibah, Kuliah Maghrib Khas Hibah, Slot Celik Ilmu Pewarisan & Baitulmal Radio IKIM, Rancang Harta Urus Pusaka Radio Klasik, siaran secara langsung Selamat Pagi Malaysia RTM dan Assalamualaikum TV Al-Hijrah.
Baca juga; wang tidak patuh syariah
MAIS Lancar Kad Hibah
Dalam majlis yang sama juga MAIS telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Kad Hibah sebagai satu pengenalan identiti penghibah yang berdaftar dengan MAIS.
Kad Hibah
- Kad Hibah akan diberikan kepada setiap pelanggan yang telah selesai membuat pendaftaran hibah bersama MAIS yang merupakan satu bentuk identiti pembuktian pemberian hibah telah berlaku semasa hidup.
- Kad Hibah mempunyai pelbagai kelebihan antaranya mengandungi nombor rujukan hibah dan nama pemberi hibah yang akan memudahkan rujukan dokumentasi.
- Setiap Kad Hibah akan dihantar ke rumah pelanggan secara percuma melalui perkhidmatan kurier sebaik sahaja selesai pendaftaran hibah dibuat.
Seminar Hibah: Sayang Jangan Sampai Melayang
Sempena majlis pelancaran tersebut, Seminar Hibah: Sayang Jangan Sampai Melayang turut diadakan di Auditorium Dahlia Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Seminar Hibah yang bertemakan Sayang Jangan Sampai Melayang turut menghimpunkan empat panel pembentang yang pakar dalam bidang masing-masing untuk memberikan pendedahan berkaitan kepentingan hibah.
Panel Pembentang
Dr. Mohd Zamro Bin Muda
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Syariah, UKM
Tajuk: Hibah Menurut Hukum Syarak.
Tuan Ahmad Termizi Bin Abdullah
Peguam Bela, Peguam Cara & Peguam Syarie, Tetuan Termizi & Co.
Tajuk: Pengesahan Hibah Menurut Undang-Undang Syariah Malaysia.
Tuan Mawardi Bin Che Man
Timbalan Pengarah Rayuan, Perbicaraan dan Penyelidikan
Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan
Tajuk: Amalan Pelaksanaan Hibah di Mahkamah Syariah Malaysia.
Ustaz Indera Shahril Bin Mohd Shahid
Pengarah Baitulmal, MAIS
Tajuk: Pengalaman Pelaksanaan Hibah di MAIS
Sekitar 200 orang peserta dari pelbagai agensi dan organisasi mengikuti seminar yang berlangsung selama satu hari ini. Objektif seminar adalah meningkatkan kefahaman hibah mengikut hukum syarak, praktik amalan hibah di mahkamah syariah dan perkongsian pengalaman pelaksanaan hibah di MAIS.
Baca juga; kesedaran tentang faraid
Kepentingan MAIS Dalam Menguruskan Harta
Sebagai sebuah badan yang diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal umat Islam negeri Selangor, MAIS komited untuk melaksanakan atau menyaksikan proses perisytiharan hibah dan pindah milik harta yang dihibahkan berlaku dengan adil, telus, profesional dan patuh syariah kepada penghibah dan penerima hibah.
Sejak tahun 2006 sehingga kini, sebanyak 5,000 dokumen hibah telah dikendalikan oleh MAIS. MAIS telah menambahbaik cara pendaftaran hibah melalui kaedah atas talian yang lebih berinovasi yang telah dilancarkan pada 1 Jun 2022 iaitu Sistem Wasiat dan Hibah (SISWA MAIS).
Melalui pelbagai program yang dilaksanakan ini, MAIS berharap masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam merancang harta semasa hidup, seterusnya memudahkan pengurusan harta terutamanya selepas kematian dan melantik MAIS sebagai pentadbir pengurusan harta.
Masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti sepanjang Bulan Hibah Negeri Selangor ini bolehlah mengikuti perkembangan di media sosial MAIS iaitu Facebook, Instagram dan Tik Tok Majlis Agama Islam Selangor. Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan melaksanakan pengurusan harta di MAIS, boleh layari laman web MAIS www.mais.gov.my.
Baca juga; fidyah puasa