Makanan berpantang | Amalan berpantang ini sememangnya nampak remeh, tetapi tempoh rawatan berpantang ini membantu merawat ibu dalam jangka pendek dan juga panjang. Amalan berpantang membantu memulihkan bahagian dalaman wanita terutama rahim. Amalan berpantang ini sekiranya diabaikan kesannya bukan serta merta. Apabila usia meningkat dan melalui proses kelahiran yang berulang baru badan mula terasa lenguh-lenguh, cepat letih dan kurang daya tenaga. Menjaga pemakanan ketika proses berpantang sangat penting kerana merupakan rawatan pemulihan terhadap tubuh. Ini kerana kecergasan dan kesihatan wanita yang baharu melahirkan menjadi lemah akibat kehilangan banyak darah ketika melahirkan bayi.
Makanan Berpantang Yang Perlu Dielakkan
Menjaga pengambilan makanan untuk orang berpantang pembedahan, makanan pantang bersalin normal dan makanan berpantang keguguran, sama sahaja. Ketiga-tiganya perlukan penjagaan yang rapi. Ada banyak resepi makanan berpantang yang boleh kita masak. Tetapi, ini adalah 5 makanan berpantang yang perlu dielakkan;
Makanan berlemak tinggi
Fokus utama selepas bersalin adalah untuk memulihkan semula tubuh agar kekal cergas dan sihat lebih-lebih lagi perlu menjaga keperluan bayi yang baharu lahir. Makanan berpantang yang perlu dielakkan seperti yang berminyak dan berlemak menyukarkan pencernaan dan boleh menambahkan berat badan.
Kafein
Kajian mendapati jumlah kafein yang terlalu banyak dalam tubuh ibu yang berpantang boleh menjejaskan penghasilan susu badan. Proses penghasilan susu yang rendah boleh mengganggu emosi wanita yang sedang berpantang. Kafein ini juga dikatakan boleh menyebabkan dehidrasi tubuh yang boleh mengganggu kualiti tidur bayi. Kopi perlu dielakkan ketika menyediakan makanan berpantang.
Buah sitrus
Pakar laktasi berpendapat bahawa buah sitrus boleh menyebabkan masalah penghadaman kepada sesetengah bayi. Jika bayi anda mudah kembung atau tidak selesa selepas makan buah-buahan sitrus maka akan perlu menghentikannya.
Minuman bergas dan ais
Kedua-dua minuman ini tidak baik kerana mengandungi nutrisi yang rendah. Bagi minuman bergas pula, kandungan gula yang terlalu tinggi tidak elok untuk ibu yang baharu sahaja melalui proses kelahiran.
Ikan kering
Protein sangat penting dalam proses pemulihan selepas bersalin. Sebaik-baiknya pilih sumber protein yang segar untuk mendapatkan khasiat sepenuhnya.
Ikan Untuk Ibu Berpantang
Ikan mengandungi protein tinggi yang diperlukan oleh tubuh. Namun tak semua ikan sesuai dimakan ketika berpantang terutama ikan yang ‘gatal’. Berikut adalah beberapa ikan untuk ibu berpantang yang sesuai diambil;
Ikan Haruan
Ikan haruan mempunyai khasiat dan zat yang dapat membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran, meningkatkan tenaga, dan memperbanyak susu badan. Ikan haruan juga mengandungi protein, omega-3, dan kolagen yang baik untuk kesihatan ibu dan bayi. Ikan haruan boleh dimasak dengan pelbagai cara seperti sup, bakar, atau masak singgang. Ikan haruan merupakan makanan berpantang yang sesuai diambil ketika makanan dalam pantang minggu pertama.
Ikan Tenggiri
Ikan tenggiri merupakan ikan untuk ibu berpantang kerana mengandungi kalori yang agak tinggi dan khasiatnya adalah untuk memberi tenaga dan memberi zat kepada ibu yang menyusukan anak.
Ikan Senangin
Ikan senangin pula hampir sama seperti ikan selar daripada segi khasiat, namun harganya jauh berbeza. Ikan senangin juga merupakan salah satu ikan untuk ibu berpantang.
Ikan Merah
Ikan merah dan ikan jenahak adalah daripada keluarga yang sama iaitu snapper. Oleh yang demikian ia memiliki struktur daging dan khasiat yang hampir sama.
Ikan Bawal Putih
Ikan bawal putih mempunyai khasiat yang tinggi. Isi ikan bawal putih seperti isi ketam yang pejal.
Boleh cuba resepi kari ikan bawal emas
Ikan Yu
Ikan yu mampu merangsang produksi susu ibu. Mengikut petua Melayu ikan yu dan haruan disyorkan ketika dalam pantang. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-lukan dalaman.
Ikan Salmon
Manfaat ikan salmon antaranya ialah boleh membantu dalam mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin, memperbaiki fungsi otak dan membantu membina sistem saraf bayi.
Ikan Bilis
Ikan bilis adalah sumber protein, zat besi, dan omega-3 yang baik untuk ibu selepas bersalin. Namun, ikan bilis juga mengandungi garam yang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, dehidrasi, dan kegatalan kulit. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dalam memilih dan menyediakan ikan bilis sebelum memakannya. Rendam ikan bilis dalam air dan tukar air beberapa kali sehingga tidak terasa masin. Ini akan mengurangkan kandungan garam dalam ikan bilis.
Baca juga; tips ikan bilis tahan lama
Kekalkan Kecantikan Dengan Amalan Berpantang Tradisional
Selepas melalui proses kelahiran yang panjang sama ada secara normal mahupun pembedahan, wanita perlu melalui suatu tempoh yang digelar tempoh berpantang.
Ramai di kalangan ibu moden yang tidak mengikuti amalan berpantang seperti tunjuk-ajar orang-orang tua dahulu. Amalan seperti bertungku, bertangas, berpilis, berbengkung dan memakai stoking dianggap melemaskan ibu yang baru melalui proses kelahiran.
Berpantang selepas bersalin merupakan fasa yang perlu dilalui oleh semua wanita yang mengandung selama 9 bulan dan mengerah tenaga untuk melahirkan anak dengan kaedah normal.
Kepentingan berpantang antara lain adalah supaya :
Memberikan tempoh masa rehat yang secukupnya untuk ibu memulihkan tenaga.
Wanita yang sedang ‘menanti hari’ memang sering penat lebih-lebih lagi apabila usia semakin meningkat. Ditambah pula dengan bebanan tempat kerja yang tidak berkesudahan. Tempoh selepas bersalin adalah masa yang perlu dinikmati oleh ibu yang berpantang untuk rehat dengan secukupnya. Tubuh menjadi penat dan lesu terutama wanita yang menghadapi tempoh kontraksi yang panjang. Kurangkan pergerakan di awal tempoh berpantang terutama mereka yang melakukan proses episiotomi.
Memberikan ruang agar dapat mencipta hubungan antara ibu dan bayi serta ahli keluarga.
Menikmati tempoh berpantang secara tradisional merupakan tempoh bagi seorang ibu menjalani proses pemulihan dan membina hubungan dengan bayi. Sebagai ibu muda ini adalah masa yang sesuai untuk belajar menguruskan keperluan bayi. Dalam tempoh ini kebiasaannya bayi lebih banyak tidur daripada berjaga. Ambil peluang untuk berehat panjang jika bayi sedang tidur atau mungkin juga boleh turut tidur bersama bayi.
Membekalkan nutrien berkhasiat melalui amalan pemakanan yang sihat dan betul.
Ramai wanita yang menyangkal tentang amalan berpantang tradisional apabila melibatkan tentang pemakanan. Sebenarnya makanan berpantang bukan tidak enak namun perlu mempunyai kreativiti dalam mencipta masakan berpantang. Sayur-sayuran yang sejuk memang perlu dielakkan untuk mengelak demam urat yang sering menyerang wanita selepas bersalin. Begitu juga ikan yang ‘gatal’ perlu dielakkan agar luka di dalam rahim cepat pulih dan tidak mendatangkan mudarat di kemudian hari. Kini banyak perkhidmatan selepas berpantang yang telah mengolah masakan berpantang tradisional nampak enak dan menyelerakan namun masih menjaga kesihatan dan kecantikan wanita berpantang.
Memberikan ketenangan emosi kerana ibu tidak perlu memikirkan tentang tugasan rumah tangga sepanjang tempoh berpantang.
Tekanan fizikal dan emosi ketika melalui proses mengandung tidak hilang begitu sahaja selepas melahirkan bayi. Ketika berpantang pula ibu muda akan mengalami tekanan emosi jika bayi tidak sihat atau susu tidak mencukupi untuk keperluan bayi sepanjang hari. Amalan berpantang tidak menggalakkan wanita berpantang untuk melakukan kerja rumah sepanjang tempoh berpantang. Oleh itu sedikit sebanyak ibu yang sedang berpantang dapat mengawal emosi mereka dengan masalah kecil seperti kekurangan susu tadi.
Mengembalikan berat dan bentuk badan asal seperti waktu sebelum mengandung.
Terdapat juga sebilangan ibu muda yang tidak menjaga pemakanan ketika tempoh berpantang. Bukan mereka tidak takut gemuk tetapi mereka lebih gemarkan amalkan pil pelangsingan daripada menjaga pemakanan ketika berpantang. Sebenarnya tempoh berpantang jika diikuti dengan betul boleh mengembalikan bentuk asal badan wanita. Amalan makanan yang terbaik dan berkhasiat ketika berpantang memang boleh mengembalikan bentuk badan apatah lagi jika ditambah dengan penggunaan bengkung. Amalan pemakaian bengkung boleh menyokong rahim untuk berada di tempat yang sepatutnya. Ditambah pula dengan menyusukan anak, mungkin bentuk badan lebih langsing daripada sebelum mengandung lagi.
Mengelakkan berlakunya sindrom meroyan atau ‘post-natal blues’ yang terjadi akibat perubahan hormon.
Kebanyakan ibu moden sekarang suka mengambil mudah dalam penjagaan diri terutama ketika tempoh berpantang. Kata mereka jika sakit ada ubat yang boleh melegakan rasa sakit. Namun, tidak salah jika melalui proses berpantang seperti yang disarankan oleh orang tua dahulu untuk kesihatan yang berpanjangan. Perkara yang paling ditakuti ketika melalui proses berpantang adalah ‘gila meroyan’. Gila meroyan ini adalah kesan psikologi kepada ibu yang baru sahaja melahirkan anak. Emosi ibu yang baru bersalin memang tidak stabil dan perlu dijaga dengan rapi. Proses berurut selepas bersalin sangat penting untuk melancarkan kembali peredaran darah dan menegangkan semula otot yang longgar akibat proses bersalin.
Penjagaan dalaman wanita
Penjagaan ibu berpantang cara tradisi biasanya lebih kepada penjagaan dalaman seorang wanita. Proses bertungku misalnya dilakukan agar rahim cepat pulih dan mengecut. Begitu juga ibu yang melalui proses berpantang disarankan untuk menjaga ibu jari daripada terhantuk dengan memakai stoking dan berjalan lebih berhati-hati. Menjaga ibu jari daripada terhantuk ini adalah kerana untuk mengelakkan darah keluar lebih banyak. Ini kerana saluran darah pada ibu jari mempunyai kaitan dengan saluran darah di dalam rahim. Ramai wanita yang tidak percaya dengan amalan ini dan kata mereka itu adalah kepercayaan kolot.
Kesimpulan
Sebagai wanita kita perlu menjaga kesihatan dan kecantikan tubuh. Menjaga makanan berpantang ini merupakan salah satu usaha untuk mencapainya.
Baca juga; cara elak tertinggal anak dalam kereta, petua rawat ketumbit